Sabah harap rundingan MA63 disegerakan - Utusan Malaysia

Sabah harap rundingan MA63 disegerakan

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah meletak harapan yang tinggi agar siri rundingan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dapat diteruskan dan disambung dengan kadar segera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat menghargai komitmen meletakkan MA63 sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwi-partisan melalui memorandum persefahaman (MoU) di peringkat persekutuan.

“Atas semangat yang sama, Sabah berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menyambung semula rundingan di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Sarawak melalui platform MKMA63 yang dibentuk oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Di peringkat negeri, sejak dari awal pemimpin GRS sepakat untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan.Komitmen kita adalah untuk menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 29 Mac lalu,” katanya dalam ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia 2021 peringkat kebangsaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini.

ISMAIL Sabri Yaakob menghadiri Sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu. GAMBAR: EHSAN JPM

 

Menurutnya, Sabah menyokong dan menghargai sepenuhnya inisiatif murni dan kesepakatan melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang menunjukkan komitmen komuniti politik untuk menangani pandemik Covid-19 secara dwi-partisan.

Beliau memberi jaminan bahawa mandat rakyat akan ditunaikan sehabis baik, apatah lagi dikala negara berdepan kemelut kesihatan awam luar biasa yang memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Sabah akan terus komited mengutarakan tuntutan hak-hak negeri dan selaras dengan penubuhan Malaysia yang ke-58, beliau mahu melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam usaha membawa Malaysia melangkah ke hadapan.

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat di Sabah untuk terus bersatu atas semangat ‘Keluarga Malaysia’. Saya penuh yakin bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Sabah akan menikmati lebih banyak pembangunan untuk rakyat di semua peringkat,” kataya.

Sambutan Hari Malaysia kekal dengan tema sama ‘Malaysia Prihatin’ bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia dan ia bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia yang menggambarkan penyatuan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak pada tahun 1963.

Dalam majlis itu, acara simbolik menandatangani Buku Khas sambutan Hari Malaysia 2021 oleh Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Ketua Menteri Sarawak turut diadakan bagi memperingati penubuhan negara Malaysia pada 1963. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya