BATU PAHAT: Sejumlah RM1.43 bilion diperuntukkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi usaha melaksanakan projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai serta hakisan pantai di negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keseluruhan jumlah itu melibatkan 13 projek sambungan dan dua projek baharu yang mana sebahagiannya adalah kesinambungan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Menurut beliau, daripada jumlah berkenaan, RM81.3 juta pula diperuntukkan bagi projek di Batu Pahat bertujuan mengurangkan risiko banjir termenung yang telah melanda daerah ini sejak Ogos lalu.
“Bagi mengurangkan risiko banjir termenung, KASA melalui JPS sedang melaksanakan dua projek pembangunan iaitu menaik taraf Sistem Saliran Mesra (SMA) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat.
“Projek SMA yang telah mula dilaksanakan di dua lokasi iaitu Sungai Suloh dan Peserai ini dijangka siap mulai tahun depan. Ia melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM32.8juta bertujuan mengatasi banjir berpunca daripada masalah sistem saliran tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, projek RTB Sungai Batu Pahat pula bakal menelan belanja sehingga RM48.5 juta yang berperanan mengurangkan risiko banjir termenung akibat kejadian hujan lebat.
“Projek ini masih dalam tempoh prapelaksana bagi perkhidmatan perunding dan ia dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya. Fenomena banjir termenung ini berlaku ekoran hujan lebat di kawasan Sri Medan dan bahagian hulu iaitu Chaah dan Segamat serta kejadian air pasang besar.
“Kedua-dua projek mega ini akan memberikan manfaat buat lebih 10,120 penduduk yang sering mengalami masalah banjir termenung selain mengelakkan kerugian kepada peladang kelapa sawit di kawasan berisiko,” katanya.- UTUSAN ONLINE