Rentas negeri tiga minggu lagi - Utusan Malaysia

Rentas negeri tiga minggu lagi

HISHAMMUDDIN Hussein (kanan) melihat proses vaksinasi di PPV pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja Kem Ulu Tiram di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kebenaran rentas negeri akan dapat diberikan dalam masa tiga minggu lagi susulan beberapa langkah menyegerakan vaksin populasi keseluruhan dewasa dilaksanakan.

 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat.

 

Katanya, langkah tersebut sekali gus diharapkan mampu mencapai sasaran 90 peratus dalam tempoh itu.

 

“Insya Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat. Perancangan yang dilakukan bersama KKM itu harapnya dapat dijayakan.

 

“Jadi sebelum ia (diumumkan) banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta  tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.

 

“SOP rentas negeri kita akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada minggu depan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, di sini hari ini.

 

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan ‘dalam beberapa minggu lagi’.

 

Ismail Sabri dilaporkan berkata, ini kerana sehingga 22 September, 81 peratus populasi dewasa telah melengkapkan suntikan vaksin dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri.

 

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, antara tindakan segera yang akan dilaksanakan ATM ialah mengatur gerak lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pendalaman.

 

Beliau berkata, ATM juga diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan bagi warga ATM kepada orang awam untuk menyegerakan sasaran.

 

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata,

disiplin orang ramai akan menjadi elemen paling penting apabila kebenarkan rentas negeri diberikan.

 

“Adalah mustahil untuk kerajaan pantau dan laksanakan SOP menjaga setiap rakyat yang diberi kebenaran merentas negeri. 

 

“Sebab itu, disiplin orang ramai amat penting apabila menikmati kelonggaran ini. Kita harap mereka patuh kepada SOP yang ditentukan nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya