Rakyat Pulau Pinang yang menentang PSR tidak boleh berpuas hati - Utusan Malaysia

Rakyat Pulau Pinang yang menentang PSR tidak boleh berpuas hati

Pembangunan projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Pulau Pinang yang menentang projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan negeri ini (PSR) tidak boleh berpuas hati walaupun kelulusan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu telah dibatalkan.

Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, ini kerana keputusan berkenaan adalah berdasarkan faktor ketidaktepatan atau kesilapan teknikal dan ia boleh diperbetulkan.

MUHAMAD FARID SAAD

“Isu fundamental berkaitan impak sosioekonomi dan alam sekitar berkaitan projek PSR ini masih belum diperbahaskan.

“Oleh yang demikian, Pemikir berpandangan isu asas penentangan perlu diketengahkan supaya pihak kementerian dan Kerajaan Pusat dapat menilai semua faktor yang dibantah sebelum membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

Menurut Muhamad Farid, kerajaan negeri telah menyatakan hasrat mereka untuk membuat rayuan untuk meneruskan projek tambakan PSR.

“Pemikir dan NGO lain serta warga Pulau Pinang yang prithatin akan terus membantah.

“Pemikir berharap kerajaan negeri melihat semula hasrat awal untuk membaiki dan memajukan sistem pengangkutan awam dan bukannya pembangunan tiga pulau yang jauh tersasar dari niat awal yang murni kerana rakyat Pulau Pinang ada hak ke atas negeri mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, Pemikir berpandangan bahawa kerajaan negeri mempunyai tanggungjawap untuk memastikan mereka sebagai pentadbir yang  memegang amanah melaksanakan kerja mengikut undang-undang dan peraturan.

“Pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar perlu menegur pimpinan politik yang rakus jika berlaku  kepincangan.

“Dalam keghairahan membangunkan negeri, adalah menjadi tanggungjawap tersurat dan tersirat mereka untuk mendengar keluhan, rintihan dan lebih-lebih lagi suara dan cadangan pihak NGO yang mahukan yang terbaik untuk negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN