SUNGAI PETANI: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kedah akan meletakkan calon untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri yang kini disandang oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Pengerusi Perhubungan PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, perkara itu telah dipersetujui dan dimuktamadkan oleh Putra Kedah baru-baru ini.
Menurutnya, calon yang telah persetujui untuk bertanding di DUN itu ialah Setiausaha Putra Kedah, Syed Hairoul Syed Ali.
“Keputusan bertanding di DUN itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor sesuai dengan keadaan semasa politik masa kini.
“Malah, calon yang dipilih berkualiti dan diterima oleh pengundi di kawasan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mustaffa berkata, beliau percaya parti itu mampu melakukan kejutan di DUN tersebut pada PRU-15.
“Jika Putra boleh menewaskan Muhammad Sanusi sekiranya kekal bertanding di DUN Jeneri adalah satu kejayaan hebat,” katanya.
Selain itu, tambahnya, Putra akan terus memberikan kefahaman kepada pengundi di kawasan itu mengenai kewujudan dan peranan parti dalam memperjuangan kepentingan Melayu dan Islam.
Menurutnya, penerimaan penduduk terhadap parti itu semakin membanggakan di negeri ini selepas mereka mula menolak parti-parti lain.
“Putra juga merupakan sebuah parti alternatif kepada orang Melayu khususnya dalam usaha membawa suara rakyat termasuk di kampung-kampung,” ujarnya.
Pada PRU-14, Muhammad Sanusi memenangi kerusi DUN Jeneri selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Mahadzir Abdul Hamid dan Mohd. Nazri Abu Hassan yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan majoriti 2,455 undi.- UTUSAN ONLINE










