BUKIT MERTAJAM: Kerajaan negeri Pulau Pinang meminta Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti isu kesesakan dan kekurangan peralatan serta tenaga pakar di wad-wad hospital di negeri ini supaya dapat diberikan perhatian sewajarnya.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain hospital, isu yang sama juga dikesan berlaku di beberapa buah Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pulau Pinang ketika ini.
Beliau berkata, perhatian dan tindakan yang sewajarnya penting untuk diambil bagi membolehkan situasi semasa berkaitan penularan Covid-19 dapat dikawal serta dikurangkan di negeri ini.
“Kita telah membuat permintaan (kepada KKM) supaya mereka dapat membantu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dari segi penghantaran sumber manusia dan sebagainya dalam menghadapi kadar peningkatan kes-kes Covid-19 di negeri ini.
“Kemudahan-kemudahan ini amat penting dan mendesak di Pulau Pinang apatah lagi dengan berlakunya peningkatan kes pada ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Kompleks Sukan MBSP dan Kolam Renang Jalan Betek di sini bagi memantau Pusat Persampelan dan Pusat Pemakaian Gelang Bagi Kontak Rapat untuk daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah, Dr. Suraya Idris memberitahu, operasi di Pusat Persampelan dan Pusat Pemakaian Gelang Bagi Kontak Rapat itu akan bermula secara rasmi hari ini.
Katanya, kompleks tersebut dipilih bagi menggantikan pejabat kesihatan daerah (PKD) SPT di Berapit yang berdepan masalah kesesakan termasuk dari segi lalu-lintas dan sebagainya.
“Justeru, kita mohon kepada pejabat daerah dan MBSP untuk menggunakan Kompleks Sukan MBSP dan Kolam Renang Jalan Betek ini sebagai pusat persampelan baharu selepas menerima aduan mengenai kesesakan daripada penduduk sekitar.
“Apabila dijalankan di sini, keadaan nampak lebih terkawal dan teratur,” katanya.
Antara perkhidmatan yang disediakan di situ termasuk persampelan (berdasarkan janji temu sahaja), pemakaian gelang kuarantin dan serahan borang Annex 14b (perintah kuarantin) iaitu antara pukul 9 pagi hingga 1 petang sahaja.
Sementara itu, perkhidmatan yang disediakan untuk sesi petang pula iaitu antara pukul 4 hingga 6 petang ialah pemotongan gelang serta ujian saringan untuk kontak rapat, saringan bergejala serta kes positif Covid-19. -UTUSAN ONLINE