Pos Tanjung Sepang mampu jadi penanda aras - Utusan Malaysia

Pos Tanjung Sepang mampu jadi penanda aras

RODZI Md. Saad (tengah) diberi taklimat mengenai peralatan dron ketika tinjauan Op Benteng di Pos Tanjung Sepang, Johor hari ini. – Foto ihsan KP MKN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad memuji tahap kesiapsiagaan Pos Tanjung Sepang, Kota Tinggi, Johor.

Dalam tinjauan pelaksanaan Op Benteng melibatkan pelbagai agensi di kawasan itu hari ini, beliau malahan menyifatkan kerjasama dipamerkan mereka adalah yang terbaik di negara ini.

“Saya difahamkan tahap kerjasama di sini adalah terbaik merentasi pelbagai peringkat dan mampu menjadi penanda aras seluruh negara,” katanya menerusi akaun sosial Facebooknya.

Sesi ‘turun padang’ itu turut disertai Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Pengarah MKN Johor, Tarmizi Dan.

Menjelaskan lanjut, Rodzi berkata, Op Benteng akan terus diperhebat melalui pemantapan sumber manusia dan aset dalam usaha kerajaan menangani elemen ancaman daripada luar.

Ia diaktifkan sejak Mei tahun lalu di bawah MKN yang meliputi kerjasama tentera, polis, serta pelbagai agensi di seluruh negara bagi membendung kegiatan jenayah rentas sempadan.

“Saya melihat sendiri tahap kesiapsiagaan barisan hadapan yang terlibat dan berjaya memberi kesan signifikan dalam jumlah penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI),” tambahnya.

Antara lain beliau diberikan penerangan terperinci berhubung kelengkapan Combat Tracking Team, fasiliti dron peninjau dan kenderaan tempur pacuan lapan roda Gempita di pos tersebut.

Taklimat turut disampaikan oleh Pegawai Pemerintah 61 Rejimen Artileri Diraja, Leftenan Kolonel Nor Azlim Nawi mengenai Op Merpati 1 dan situasi keselamatan di kawasan berkenaan.

 Pasukan Op Benteng di Pos Tanjung Sepang katanya, turut mempersembahkan demonstrasi penangkapan PATI yang rumit serta memerlukan ketangkasan dan strategi mantap bersama.

 “Semoga usaha pihak kerajaan dalam menangani ancaman anasir luar menerusi Op Benteng akan dapat diteruskan melalui kerjasama padu daripada semua pihak,” tegas Rodzi.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN