Polis Melaka tahan lapan lelaki disyaki Geng 02, Geng 08 - Utusan Malaysia

Polis Melaka tahan lapan lelaki disyaki Geng 02, Geng 08

KESEMUA suspek ditahan dalam Op Cantas di kawasan Taman Air Merbau, Jasin, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis menahan lapan lelaki selepas tujuh daripadanya didapati mempunyai beberapa tatu di anggota badan dipercayai berkaitan dengan kumpulan kongsi Geng 02 dan Geng 08.

Kesemua lelaki berusia 30 hingga 43 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam oleh Cawangan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka dalam Op Cantas di kawasan Taman Air Merbau, Jasin dekat sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kelapan-lapan individu tersebut ditahan ketika sedang berkumpul di kawasan padang permainan sambil minum minuman keras pada Jumaat lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis mendapati tujuh daripada mereka mempunyai tatu disyaki berkaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

“Kesemua tangkapan berasal dari Jasin dan siasatan polis diteruskan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat penglibatan mereka dalam sebarang kegiatan jenayah.

“Siasatan telah dilakukan di bawah Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih daripada lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menambah, polis juga mengeluarkan kompaun keseluruhan sebanyak RM16,000 iaitu RM2,000 dikenakan setiap seorang atas kesalahan berkumpul sambil minum minuman keras.

Jelasnya, ia diambil di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.

Kesemua yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya