PM setuju Johor terlibat secara langsung bincang buka sempadan - Utusan Malaysia

PM setuju Johor terlibat secara langsung bincang buka sempadan

ISMAIL Sabri Yaakob dan Hasni Mohammad ketika menghadiri sesi taklimat Pembangunan Negeri dalam lawatan kerja ke Johor di Hotel Thistle di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor akan terlibat secara langsung dalam jawatankuasa teknikal yang membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini.

“Perdana Menteri telah bersetuju agar Johor terlibat secara langsung bukan hanya isu pembukaan sempadan, tetapi juga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperlukan berhubung pergerakan rentas sempadan.

“Antara isu yang memerlukan bantuan kerajaan negeri termasuklah mendapatkan senarai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan telah divaksin di sana tetapi belum dikemaskini dengan MySejahtera.

“Antara isu lain yang memerlukan ‘sentuhan’ kerajaan negeri termasuklah pergerakan keluar masuk lori membawa bekalan ke Singapura melibatkan pemandu lori yang perlu menjalankan ujian pemeriksaan kit ujian pantas (RTK),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama pemimpin kerajaan negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Tambah Hasni, isu ketika ini adalah untuk mendapatkan persetujuan Singapura bagi membincangkan SOP yang dikemukakan memandangkan negara itu sedang mengalami peningkatan kes baharu Covid-19.

Pada 5 September lalu, Hasni dalam temubual bersama Utusan Malaysia meminta satu jawatankuasa khas melibatkan Johor ditubuh dan diiktiraf bagi perbincangan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Beliau berkata, hal itu penting kerana pembukaan sempadan Johor-Singapura merupakan komponen asas dalam usaha pemulihan ekonomi negeri.

Sementara itu, Hasni turut memberitahu, antara SOP yang dikemukakan pihaknya termasuklah pengiktirafan sijil vaksin, bentuk saringan yang perlu dibuat dan tempoh laku ujian berkenaan selain sistem yang perlu dipersetujui kedua-dua negara.

“SOP ini telah dibincangkan semasa pertemuan tadi dan saya harap ia akan dapat dibentangkan secepat mungkin,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya