PKS Pulau Pinang disaran patuhi SOP Amalan Terbaik Pengurusan Covid-19 - Utusan Malaysia

PKS Pulau Pinang disaran patuhi SOP Amalan Terbaik Pengurusan Covid-19

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pulau Pinang disaran mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Amalan Terbaik Pengurusan Covid-19 yang dilancarkan oleh kerajaan negeri hari ini bagi memastikan sektor itu dapat beroperasi dengan selamat dan optimum.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, SOP Amalan Terbaik Pengurusan Covid-19 itu dilaksanakan berdasarkan prosedur yang diperkenalkan menerusi kerjasama kerajaan negeri dan Institut Penyelidikan Kolaborasi dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam sektor PKS.

“Pulau Pinang mungkin terkenal sebagai hab bagi banyak industri berat seperti hab industri elektrik dan elektronik (E&E) terkemuka di negara ini.

“Bagaimanapun, kehadiran perusahaan PKS tidak diragukan lagi merupakan tulang belakang industri E&E, jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan industri PKS dapat beroperasi dengan selamat menerusi SOP Amalan Terbaik Pengurusan Covid-19 ini,” katanya ketika melancarkan SOP Amalan Terbaik Pengurusan Covid-19 menerusi aplikasi Zoom di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim.

Menurut Kon Yeow, adalah sangat penting bagi kerajaan negeri bekerjasama dengan industri dan organisasi yang relevan untuk memastikan pendekatan yang lebih baik dalam menentang ancaman Covid-19 yang berterusan.

Katanya, SOP Amalan Terbaik Pengurusan Covid-19 itu akan melengkapkan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan kerajaan negeri komited dalam memastikan PKS dapat mematuhi SOP berkenaan.

“Dengan 70 peratus kes Pulau Pinang dikaitkan dengan kelompok tempat kerja, terutama dari sektor industri, ini adalah masa yang sangat mencabar untuk kita termasuk di sektor PKS.

“Oleh itu, sangat penting untuk memastikan langkah-langkah yang tepat dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan rantaian bekalan, lebih-lebih lagi ketika negara maju dari pandemik Covid-19 menjadi fasa endemik,” katanya.

Tambahnya, maklumat lanjut mengenai SOP Amalan Terbaik Pengurusan Covid-19 boleh didapati atau di muat turun menerusi www.penanglawancovid19.com,
www.buletinmutiara.com dan https://investpenang.gov.my/news/. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN