PUTRAJAYA : Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PjH) tidak mahu ketinggalan dalam memberi sokongan terhadap Program Imunisasi Covid-19 (PICK) yang dilaksanakan kerajaan.
Terbaharu, pemaju utama Wilayah Persekutuan Putrajaya itu sudi menyumbang khemah besar berhawa dingin bagi keperluan Hospital Putrajaya (HPj).
Pengurus Besar (Jualan dan Pemasaran) PjH, Sabariah Ramli berkata, kemudahan itu akan digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh HPj.
Beliau berkata, khemah itu disumbangkan anak syarikat PjH iaitu Putrajaya Homes Sdn. Bhd. bertujuan meningkatkan pemberian vaksin Covid-19 menerusi Program Lonjakan Kapasiti.
“Kemudahan yang disumbangkan itu diharap dapat melancarkan PICK di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.
“Sumbangan ini salah satu daripada tanggungjawab kami untuk membantu komuniti setempat termasuk penduduk di Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Sementara itu, Pengarah HPj Datuk Dr. Nora’i Mohd Said berkata, ketika ini, PPV HPj meningkatkan kapasiti pemberian vaksin dan mampu menampung antara 180 hingga 200 janji temu sehari.
“PPV khas ini hanya dikhususkan buat individu berisiko tinggi seperti warga emas dan ibu hamil,” katanya. – UTUSAN ONLINE