SEREMBAN: Sebarang cadangan untuk menggantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan perlulah merujuk kepada Presiden PKR yang mempunyai kuasa dalam hal tersebut.
Pengerusi MPN PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya ada usaha daripada beberapa pihak untuk menggantikannya daripada jawatan berkenaan tetapi ia perlulah mengikut peraturan.
“(Pengerusi MPN) pelantikan presiden, mereka kena rujuk kepada presiden. Saya tiada masalah, cuma mereka perlu ikut peraturan,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum beliau menghadiri persidangan hari kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi berkata, sememangnya terdapat cadangan sebelum ini supaya jawatan Pengerusi MPN itu diserahkan kepada individu lain tetapi Aminuddin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ravi yang juga Ketua PKR Cabang Port Dickson juga mengakui ada menandatangani akuan bersumpah (SD) dan ia akan dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan tersebut.
Sementara itu, mengulas tuduhan bahawa beliau gagal dalam memimpin dan memperkasakan cabang serta ahli parti sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan ahli serta penggerak parti di akar umbi, Aminuddin menjelaskan, tiada apa program yang boleh dilakukan ketika negara dilanda penularan Covid-19.
“Masa Covid-19, apa yang boleh kita buat, sebelum ini kita ada buat, tiada masalah, tetapi dalam Covid-19 siapa ada buat program daripada bulan Mei, tiada program, tetapi saya ada berhubung dengan mereka.
“Cuma biasalah dalam politik, apabila Covid-19 semakin reda, insya-Allah saya rasa tiada apa-apa masalah, cuma masa Covid-19 itu, kita akui tetapi selepas ini apabila agak reda, saya rasa tiada masalah,” katanya lagi.
Aminuddin dalam pada itu memaklumkan, satu mesyuarat di peringkat MPN negeri akan dilaksanakan pada hujung bulan depan bagi membincangkan perkara itu.
“Memang kami akan ada mesyuarat tetapi saya minta pada hujung bulan ini kerana ada sidang DUN, sebelum ini kerana Covid-19 dan insya-Allah kami akan membincangkan perkara tersebut,” katanya lagi.









