LANGKAWI: Kebanyakan pemain industri pelancongan masih dalam dilema untuk menerima kehadiran pelancong selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula pulau peranginan itu pada 16 September ini.
Mereka mengakui sebelum ini berharap pembukaan semula pulau ini kepada pelancong selepas kerugian besar berikutan ketiadaan pelancong berkunjung di pulau itu sejak penularan pandemik Covid-19 pada tahun lalu.
Pada masa sama, pengusaha pelancongan terbabit juga bimbang kes Covid-19 di pulau ini akan terus meningkat dengan kemasukan pelancongan selepas ini.
Pengurus Operasi Langkawi Outdoor Explorer, Mohd. Khairi Md. Nayan berkata, dia mengakui gelembungan pelancongan yang dilaksanakan pada 16 September ini dapat membantu pengusaha dalam sektor pelancongan bangkit selepas mereka terjejas terus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pihak yang terlibat dalam industri pelancongan masih bimbang penularan kes Covid-19 dalam komuniti di pulau ini akan semakin serius dan mengancam nyawa penduduk tempatan.
“Pematuhan SOP dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan perlu dipertingkatkan sekiranya gelembung pelancongan dilaksanakan di pulau ini pada 16 September ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program ‘travel bubble’ berdasarkan syarat-syarat ditetapkan.
Katanya, sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.
Sementara itu, pemilik rumah tamu Langkawi Country Lodge, Norhayati Abdullah pula berkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat di pulau ini perlu dilakukan selepas dibuka kepada pelancong ini.
“Kami memang mengharapkan kemasukan pelancong selepas pulau ini sunyi tapi langkah berjaya perlu diambil,” ujarnya.
Pengarah Urusan Honeyzone Travel and Tours Sdn. Bhd., Hanishah Hasan mengharapkan kerajaan dapat menyalurkan bantuan yang setimpal kepada pemain industri pelancongan di pulau ini selepas mereka menanggung kerugian akibat operasi ditutup.
“Terdapat dalam kalangan mereka ingin bangkit semula tetapi mereka tidak mempunyai modal yang cukup untuk memulakan operasi,” katanya. -UTUSAN ONLINE