JOHOR BAHRU – Polis Johor tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir pengikut ajaran sesat ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT) itu berada di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ajaran sesat yang baru dikesan di negara ini itu mempunyai ramai pengikut yang mengikuti ajaran berkenaan secara atas talian.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan tentang penyebaran ajaran sesat PMYT di negeri ini setakat ini.
“Kalau kita tengok di negeri-negeri lain, jumlah pengikut ajaran sesat itu mengikuti ajaran tersebut secara atas talian. Ajaran itu mempunyai ramai pengikut di Facebook mereka.
“Bagaimanapun, tidak ada laporan yang dibuat setakat ini. Mungkin ada (di negeri ini), kerana dia mempunyai beribu-ribu pengikut tetapi tidak ada laporan dibuat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Sabtu lalu, akhbar dilaporkan berkata, ketua ajaran sesat PMYT iaitu seorang wanita dipercayai pemilik akaun Facebook Masitah Ab Jalar atau lebih dikenali sebagai Sittah Annur ditahan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Tangkapan itu susulan satu laporan polis dibuat seorang pengadu pada Isnin lalu selepas menonton sebuah video berkaitan ajaran tersebut yang dimuat naik di YouTube.
Ketua ajaran tersebut mendakwa dirinya mampu berhubung dengan malaikat, Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, wanita berusia 39 tahun itu telah direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Media.
Terdahulu tular di media sosial apabila ketua ajaran sesat yang dikesan sejak enam bulan lalu meramalkan bahawa Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengambil tindakan sewajarnya jika wujud unsur-unsur hasutan yang dibawa oleh ajaran sesat berkenaan.
Katanya, antara tindakan yang boleh diambil termasuk meletakkan individu berkenaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Tambahnya, pihaknya mengakui ada individu yang sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menghasut dan menakut-nakutkan PDRM.- UTUSAN ONLINE