Pemimpin masyarakat diminta bantu kesan individu tidak daftar MySejahtera - Utusan Malaysia

Pemimpin masyarakat diminta bantu kesan individu tidak daftar MySejahtera

ADHAM Baba
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemimpin masyarakat di negeri-negeri yang rendah kadar vaksinasi Covid-19 diminta membantu mengesan individu yang tidak membuat pendaftaran vaksin melalui aplikasi My Sejahtera.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan kadar vaksinasi sekali gus mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok pada akhir bulan ini.

 

“Masih terdapat mereka yang tidak mendaftar dalam MySejahtera, jadi, dengan nama-nama yang dikumpulkan oleh ketua masyarakat di samping oleh petugas Pusat Kesihatan Daerah (PKD) membolehkan golongan itu dikesan.

 

“Lebih banyak lagi program outreach dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara bergerak akan dilaksanakan PKD bersama Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Pusat dan negeri untuk memastikan penyelarasan pemberian vaksin dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program PPV Outreach di Taman Desa Paloh di sini hari ini. 

 

Terengganu merupakan antara tujuh negeri selain Sabah, Kelantan, Kedah, Johor, Perak, dan Pahang yang diberi perhatian khusus oleh kerajaan bagi meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19.

 

Adham berkata, buat masa ini bekalan vaksin di negeri-negeri adalah mencukupi di samping boleh menampung keperluan hingga bulan depan.

 

Dalam pada itu, katanya, vaksinasi di kawasan-kawasan berisiko banjir akan terus dirancakkan dan disasarkan selesai sebelum ketibaan musim tengkujuh.

 

“Di Terengganu, misalnya, sudah lebih 90 peratus penduduk dan penggiat pelancongan di pulau-pulau peranginan seperti Pulau Perhentian, Redang dan Kapas divaksin,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN