Pemilihan terus PM jejas Perlembagaan - Utusan Malaysia

Pemilihan terus PM jejas Perlembagaan

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pemilihan Perdana Menteri secara langsung oleh rakyat bukan jawapan kepada isu lompat parti dalam konteks negara ini kerana jika pendekatan tersebut dibenarkan, ia boleh mengakibatkan kesan radikal kepada Perlembagaan negara.

Ia boleh menyuburkan evolusi sistem politik negara kepada penjelmaan sifat republik selain kesan awalnya, budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan terhapus.

Justeru, kaedah pemilihan Perdana Menteri secara langsung tidak boleh dibenarkan kerana ia akan merobohkan salah satu struktur asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, amalan lompat parti boleh dicegah melalui pindaan Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, mana-mana ahli Dewan Rakyat yang bertanding di atas parti politik tertentu jika keluar parti yang diwakili ketika proses penamaan calon, atau dipecat daripada parti yang menamakannya dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil hendaklah dianggap hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Katanya, kaedah pencegahan itu lebih sesuai daripada amalan pemilihan terus seperti di Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sebuah republik.

“Dalam pemerintahan sistem beraja khususnya Malaysia yang menjamin elemen-elemen watan tertentu sebagai struktur asas Perlembagaan, pelantikan Perdana Menteri merupakan hak budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Prinsip ini sudah wujud di peringkat negeri ratusan tahun dan sudah berlaku transformasi yang wajar dengan keperluan semasa seperti amalan pada hari ini apabila sistem pilihan raya diperkenankan oleh Raja-raja Melayu. Pada zaman pra Hari Merdeka, raja yang melantik para pembesar baginda dan tidak boleh dinafikan berlaku amalan syura dalam kerangka sistem politik tradisional Melayu,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad Fauzi berkata, pemilihan dan pelantikan Perdana Menteri merupakan sejumlah budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang mesti dipertahankan.

“Sudah memadai ahli Dewan Rakyat dipilih secara langsung oleh rakyat kerana negara kita tidak mendukung prinsip keagungan Parlimen,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×