Pemberian dos ketiga vaksin tepat - Utusan Malaysia

Pemberian dos ketiga vaksin tepat

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Co­vid-19 kepada golongan berisiko di negara ini disifatkan bertepatan dalam keadaan penularan varian Delta yang lebih berbahaya.

 

Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, hasil pemerhatian, banyak negara telah memulakan dos ketiga antaranya United Kingdom (UK) dan Singapura.

 

Beliau yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS) berkata, pemberian dos ketiga itu juga adalah bagi meningkatkan sistem imun terhadap virus berkenaan.

 

Dalam masa sama, katanya, rakyat perlu bersedia berada dalam suasana endemik bukan lagi dalam keadaan norma kebiasaan.

 

“Selain beberapa golongan yang diberi keutamaan menerima suntikan dos ketiga itu, ia juga boleh diperluaskan selepas ini.

 

“Bagaimanapun terserah kepada pakar-pakar untuk membuat penilaian yang teliti dan mendalam sebelum sesuatu pelaksanaan itu dapat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Sebelum ini, media melaporkan, pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 kepada golongan berisiko tinggi di negara ini dijangka dilaksanakan bermula awal Oktober. 

 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, keutamaan pemberian dos penggalak itu akan diberikan kepada golongan rentan antaranya warga emas yang memiliki komorbiditi serta masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan yang berisiko tinggi serta mereka yang memiliki imunisasi lemah dan berada atau bekerja di pusat jagaan warga emas.

 

Kata Khairy, golongan tersebut akan diberi keutamaan kerana data sedia ada menunjukkan mereka sebagai kumpulan paling berisiko untuk dijangkiti Covid-19 kategori lima dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).    

 

Sementara itu,  Kamarul Azman berkata, sebelum pemberian dos ketiga vaksin, proses bagi dos pertama dan kedua perlu dipercepatkan kepada seluruh masyarakat.

 

“Harapan agar norma baharu ini akan lebih tersusun dan terjamin menjelang tahun depan seterusnya kita dapat menikmati kehidupan seperti biasa serta lebih terjamin,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN