SABAK BERNAM: Polis masih mengesan seorang lelaki yang disyaki melarikan diri selepas memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) secara lawan arus di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan, 17 September lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata suspek berusia 26 tahun itu diperlukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.
“Suspek yang beralamat di Tali Air 7, Sungai Leman, Sekinchan, amat dikehendaki bagi membantu siasatan kes.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Inspektor L Ramesh, melalui talian 0164935596 atau ‘hotline’ IPD Sabak Bernam 03-32245963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini sebuah video tular memaparkan sebuah kereta bertekad melawan arus sejauh dua kilometer (km) ketika dikejar polis selepas melarikan diri dalam sekatan jalan raya di KM 72 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki dua suspek ditahan selepas terbabas ke dalam sebuah parit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, pihaknya bertindak mengekori MPV itu sejurus selepas suspek melarikan diri dalam satu sekatan jalan raya.
Jelas Cheee Khoon, setibanya di Jalan Tali Air 6, pemandu Avanza itu memandu secara melawan arus sehingga ke Jalan Tali Air 7 dan Jalan Haji Miskan.
Katanya lagi, pemandu itu kemudian melompat keluar dari kenderaannya yang masih bergerak lalu terbabas ke parit.
Menurutnya, pemandu Avanza itu bagaimanapun meloloskan diri manakala seorang lelaki berusia 27 tahun iaitu penumpangnya ditahan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE










