ALOR SETAR: Orang ramai yang bakal bercuti di Langkawi diingatkan supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19 apabila destinasi tersebut mula dibuka kepada pelancong, Khamis ini
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerusi pasukan pemantau akan memastikan pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung menerusi rondaan di semua lokasi pelancongan.
“Sudah semestinya, apabila pulau itu kembali dibuka untuk pelancongan, jumlah anggota polis dalam pasukan pemantauan juga akan ditambah.
“Kalangan pegawai dan anggota ini akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan para pengunjung mematuhi SOP ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun orang ramai berkunjung ke pulau peranginan itu mengikut gelembung pelancongan, namun, mereka tetap perlu mematuhi SOP.
“Bagi pelancong yang datang melalui jalan darat, mereka perlu mendapatkan kebenaran untuk merentas negeri dan sekatan jalan raya (SJR),” ujarnya.
Mengulas mengenai pelaksanaan PKPD di Kuala Kedah, Mazlan berkata, pemerhatian pihak polis mendapati rata-rata penduduk akur dengan peraturan ditetapkan selain memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan tugas.
“Seramai 104 pegawai dan anggota termasuk lapan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditugaskan setiap hari bagi melakukan tinjauan di kawasan terlibat PKPD. Pemantauan turut menggunakan dron bagi memantau lorong-lorong tikus,” katanya.
Ujarnya, setakat ini, tiada masalah yang timbul termasuk hasil tangkapan nelayan juga sudah dibenar untuk dibawa keluar. -UTUSAN ONLINE










