PETALING JAYA : Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi berjumlah RM20 juta diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu koperasi terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Oleh demikian, bagi meningkatkan kembali aktiviti koperasi, empat program diperkenalkan iaitu Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR), Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) dan Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-Dapat).
Sejajar itu, bagi membantu koperasi khususnya di Kedah, sejumlah RM1.125 juta daripada peruntukan itu diagihkan bagi memberi faedah kepada koperasi dan anggota di negeri itu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, sebanyak RM 225,000 diberikan untuk JKPR membabitkan 17 koperasi di negeri itu.
Selain itu, katanya bagi program KPR sebanyak RM300,000 diberikan kepada tiga koperasi dan TRANSFER pula membabitkan jumlah RM600,000 disalurkan kepada enam koperasi terpilih.
“Tujuan bantuan geran ini diberikan dapat membantu koperasi kembali menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih baik lebih lagi selepas negara dilanda pandemik Covid-19. Daripada perspektif ekonomi pula, ia dapat memupuk semangat koperasi untuk mengeluarkan produk sendiri dalam pelbagai bidang dan membangunkan pendapatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Penyerahan Bantuan dan Pembiayaan Intervensi Pemulih Ekonomi Koperasi Peringkat Negeri Kedah Tahun 2021, di Menara Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad di Alor Setar, Kedah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad; Timbalan Pengerusi SKM, Zazali Haron dan Pengerusi Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad, Ahmad Rusli Din.
Dalam pada itu, Noh Omar berkata, kerajaan sentiasa komited dalam membantu 14,629 koperasi di negara ini dalam menangani kelembapan operasi perniagaan berikutan PKP apabila situasi itu memberikan kesan kepada kebajikan 6.48 juta anggota koperasi seluruh negara.
“Program JKPR sebagai contoh dapat memberikan bantuan geran secara one-off kepada koperasi yang menjalankan aktiviti peruncitan bagi mengurangkan harga barangan keperluan harian rakyat. Bantuan berbentuk geran ini akan dibuat terus kepada 200 koperasi di seluruh negara yang dikenal pasti terlibat dalam sektor pemborongan dan peruncitan.
“Pakej Pemulih ini dapat meningkatkan jualan harian koperasi sehingga 30 peratus di samping dapat membantu menangani kos sara hidup termasuk anggota koperasi dan golongan B40 serta M40 dengan potongan pembelian barangan runcit sebanyak 15 peratus,” katanya. -UTUSAN ONLINE