Parti persendiran: Polis Melaka tahan 17 individu - Utusan Malaysia

Parti persendiran: Polis Melaka tahan 17 individu

KESEMUA individu berusia antara 17 hingga 35 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di kondominium di Jalan Pesisiran Bunga Raya, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 17 individu termasuk lapan remaja ditahan selepas dipercayai mengadakan parti persendirian (private party) dalam dua serbuan berasingan di kondominium di Jalan Pesisiran Bunga Raya di sini, malam tadi. 

Dalam serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, kesemua individu berusia antara 17 hingga 35 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. 

Ketua JSJ negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, serbuan berkenaan dibuat susulan pihaknya menerima maklumat daripada orang awam. 

Katanya, hasil serbuan di sebuah premis, polis telah menahan sekumpulan lapan remaja termasuk dua gadis dan seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai berkumpul di kondominium tersebut dipercayai untuk melakukan aktiviti tidak bermoral. 

“Hasil siasatan awal, kesemua mereka yang ditahan merupakan penduduk tempatan dan telah mendaftar masuk ke kondominium berkenaan kira-kira satu jam sebelum serbuan dilakukan. 

“Kita percaya mereka berkumpul hanya untuk melakukan aktiviti tidak bermoral,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, lapan lagi lelaki berusia 24 hingga 35 tahun dicekup ketika sedang ‘berdisko’ sambil meminum minuman keras. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing dilakukan, seorang remaja berusia 19 tahun turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine. 

“Kesemua 17 individu terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 setiap orang mengikut Peraturan 16PU (A) 293 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

“Kita telah mengambil keterangan bagi siasatan mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan Negeri Melaka sebelum melepaskan mereka dengan jaminan polis,” ujarnya.

Jelasnya, remaja yang didapati positif dadah turut disiasat mengikut Seksyen 16 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN