PETALING JAYA: Penglibatan organisasi dan agensi kerajaan dalam skandal-skandal yang melibatkan rasuah dan penyalahgunaan wang mencetuskan kebimbangan serta keraguan soal integriti agensi itu.
Dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu menggesa supaya kerajaan menjalankan siasatan rapi.
“Kali ini kita terkejut dengan laporan terbaru yang kalau tidak ditangani dengan baik, apakah Malaysia satu hari nanti akan dipengaruhi oleh kuasa tertentu untuk menguasai pentadbiran kerajaan misalnya penangkapan terhadap ketua penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan pendakwaan kepada khazanah.
“Kita tidak tahu berapa jumlah wang terlibat dalam hal ini. Soalnya ia melibatkan badan siasatan jenayah kita seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jadi sudah tentulah ini dikatakan bahawa agen perisik negara asing yang membiayai orang yang disebutkan tadi sebab itu kita harap kerajaan tidak buat cover up hal ini.,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, bekas menteri pertahanan itu berkata perkara itu cukup penting kerana ia beri impak yang besar kepada soal keselamatan negara kerana kedudukannya yang beroperasi di Jabatan Perdana Menteri kerana jabatan itu nadi kepada sesuatu kerajaan.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan siasatan hendaklah menyeluruh serta didedahkan kepada kabinet, rakyat dan kerajaan kerana ia amat penting untuk diketahui umum.
“Ini satu perkara yang berbahaya apabila orang yang bertaraf sebegitu rupa boleh dikatakan menerima wang dan bagaimana pula katanya SPRM menyimpan wang itu. Ini semua spekulasi yang kita tidak tahu kebenarannya. Itulah pentingnya siasatan diperlukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE