TEMERLOH: Titah Yang di- Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 2021, Isnin lalu yang menitipkan tiga rangkap pantun memberi makna mendalam untuk dihayati.
Tiga rangkap pantun itu memberikan makna yang tersirat untuk difahami oleh ahli Dewan Rakyat terutama membabitkan wakil-wakil rakyat.
Pantun Seri Paduka berbunyi:
Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang,
Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti,
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.
Kalau memandang langit yang tinggi,
Jangan lupa rumput di bawah,
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati,
Martabatkan negara kembali bermaruah.
Rempah halia digaul diuli,
Buat ramuan nasi kebuli,
Sumpah setia ketaatan diberi,
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, Yang di-Pertuan Agong merupakan raja yang bijaksana menggunakan pantun yang mempunyai maksud tersurat dan tersirat.
Ini kerana ujarnya, fungsi pantun itu sendiri sebagai alat komunikasi tradisional orang Melayu untuk memberi nasihat, menegur, seloka dan menyindir.
“Oleh itu wakil rakyat harus mengambil perhatian setiap rangkap pantun yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong yang mungkin cara halus memberi nasihat dan teguran kepada ‘para hulubalang’ membina negara.
“Ini kerana maju mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kualiti kepimpinan dan para wakil rakyat yang berintegriti dan fokus berkhidmat,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, beliau selaku ahli akademik yang dekat dengan perkembangan pantun dan membuat kajian mengenainya sejak era 1960-an terpanggil untuk menjawab pantun itu sebagai rakyat biasa.
Katanya, pantunnya seperti berikut:
Pinang legong tidak bergetah
Pinang bercampur beras berantah
Harap Yang Berhormat tidak membantah
Pantun Agong itulah titah.
Tebang-tebang pokok palas.
Daun penyapu menghalau lalat
Kerja YB mestilah ikhlas
Untuk rakyat raja berdaulat.
Rotan taha di Pulau Teja
Puteri berbalas pantun seloka
Sumpag setia kepada Raja
Melanggar sumpah tulah dan cela.
-UTUSAN ONLINE