KUALA LANGAT: Prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 masih dipatuhi pengunjung tempat rekreasi di Pantai Morib di sini walaupun rata-rata mereka sudah mendapat vaksinasi lengkap.
Mereka dilihat enggan sia-siakan kesempatan sekatan yang dilonggarkan bagi aktiviti riadah dan rekreasi kerana bimbang selain berlaku penularan wabak, pengunjung tidak mahu menjalani sekatan lagi sekali.
Seorang pengunjung dari Klang yang ingin dikenali sebagai Nazri, 50, mengaku begitu rindu untuk keluar bersiar-siar bersama keluarga di tempat peranginan.
“Saya dan isteri telah lengkap dua dos vaksin jika tidak bimbang juga untuk ke sini. Tiga anak saya masih di bawah umur 18 tahun dan belum divaksin.
“Apa yang penting SOP seperti memakai pelitup separuh muka, memakai penyahkuman dan penjarakan fizikal dijaga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu seorang lagi pengunjung yang ingin dikenali sebagai Noni, 42, berkata, dia mengambil peluang cuti hujung minggu untuk datang ke Morib bersama keluarga.
“Sudah lebih tiga bulan bekerja dari rumah. Hari ini bawa anak keluar hilangkan stress.
“Saya dan suami sudah lengkap dua dos. Selepas ini dua anak saya berumur 15 dan 17 tahun boleh menerima dua dos vaksin,”katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ada pengunjung yang berada dalam kedudukan agak rapat antara satu sama lain.
Namun keseluruhannya pengunjung masih mematuhi SOP penjarakan fizikal yang ditetapkan.
Terdahulu, pada 8 Ogos, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri mengumumkan kelonggaran sekatan di seluruh negara termasuk negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kelonggaran tersebut selain dibenarkan makan di restoran, mereka yang menerima dua dos vaksin Covid-19 boleh melakukan aktiviti rekreasi seperti berkelah dan beriadah. -UTUSAN ONLINE