Pangkor belum penuhi syarat gelembung pelancongan - Utusan Malaysia

Pangkor belum penuhi syarat gelembung pelancongan

NOLEE ASHILIN MOHAMMED RADZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pulau Pangkor masih perlu melengkapkan beberapa kriteria untuk disenaraikan dalam destinasi baharu bagi projek gelembung pelancongan negara.

Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, antara syarat yang perlu dipenuhi adalah membabitkan kesediaan pengusaha hotel dan produk pelancongan serta proses vaksinasi di pulau berkenaan.

 

“Kita dimaklumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bahawa Pulau Pangkor masih lagi menjadi antara destinasi yang akan dinaikkan kepada gelembung pelancongan domestik.

 

“Bagaimanapun, pada waktu dan ketika ini, pulau peranginan itu masih belum mencukupi dari segi beberapa syarat.

 

“Antara syarat-syaratnya adalah kesediaan pengusaha-pengusaha di Pulau Pangkor dan dari segi vaksinasi. Kita juga mesti membuat persediaan di pintu masuk bagi mengelakkan masalah kesesakan begitu juga untuk saringan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

 

Menurut beliau, kerjasama sedang dijalankan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya  untuk memastikan syarat-syarat itu dipenuhi secepat mungkin supaya mendapat kelulusan Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Kerajaan negeri akan cuba sebaik mungkin untuk memenuhi kriteria itu supaya Pulau Pangkor boleh tersenarai dalam destinasi gelembung pelancongan domestik,” katanya.

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini berkata, Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Pulau Tioman antara destinasi pelancongan yang dijangka dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat selepas Pulau Langkawi.

 

Bagaimanapun semalam, tiga destinasi pelancongan iaitu Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands diumumkan bakal dibuka kepada orang ramai bermula 1 Oktober ini.

 

Perak sebelum ini menyasarkan untuk Pulau Pangkor dibuka selewat-lewatnya 1 November depan kepada pelancong. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN