Mukhriz tolak dakwaan salah guna kuasa, minta Sanusi segera buat laporan - Utusan Malaysia

Mukhriz tolak dakwaan salah guna kuasa, minta Sanusi segera buat laporan

MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menolak dakwaan berlaku salah guna kuasa dalam urus niaga Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) ketika beliau menjadi Menteri Besar sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor harus segera membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap dakwaan pemindahan wang berjumlah RM13 juta milik MBI sekiranya terdapat unsur salah guna kuasa.

“Berdasarkan dokumen-dokumen yang ‘ditayangkan’ oleh Muhammad Sanusi pada Khamis lalu, dokumen itu dipercayai berkaitan pelaburan oleh MBI dalam sebuah syarikat bioteknologi yang ketika itu terlibat dalam kajian dan pembangunan rawatan kanser.

“Syarikat ini berdaya maju dan ekuitinya pula dimiliki oleh rakyat Malaysia, agensi pelaburan sektor teknologi tinggi Kerajaan Persekutuan, selain turut menarik perhatian pelabur-pelabur dari luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendedahkan wang RM13 juta milik MBI dipindahkan ke akaun luar negara Bank Barclays di Kanada ketika Mukhriz masih menjadi Menteri Besar.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, beliau juga tidak memperoleh sebarang keuntungan peribadi daripada keputusan MBI dalam pelaburan tersebut.

Malah, tambahnya, beliau juga sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Saya sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mahupun salah guna kuasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, beliau yakin kenyataan yang dibuat oleh Muhammad Sanusi bertujuan untuk mencemar nama baik dan imej beliau tanpa membuat tuduhan khusus yang boleh mengundang  tindakan saman.

Jelas beliau, sebagai sebuah entiti yang ditubuhkan untuk membawa pelaburan dan keuntungan kepada negeri Kedah, tentu akan wujud aliran keluar masuk dana dari MBI. 

Katanya, sebarang keputusan oleh MBI sudah semestinya mengambil kira kepentingan terbaik rakyat negeri Kedah untuk jangka masa panjang.

“Pada keseluruhannya, pelaburan-pelaburan MBI disasarkan untuk industri berkualiti  tinggi, berdaya maju dan berpotensi besar untuk mencatat keuntungan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN