Memajukan inisiatif wakaf korporat - Utusan Malaysia

Memajukan inisiatif wakaf korporat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH 

Baru-baru ini, AWQAF Holdings Berhad bersama dua organisasi lain telah membentuk sebuah konsortium dengan tujuan untuk memohon lesen perbankan digital bagi mempermudah dan memberikan akses mudah praktik wakaf. Langkah ini bertujuan untuk mencapai potensi penuh wakaf sebagai ekonomi ketiga dalam sistem ekonomi Islam.

Konsortium tersebut meninjau satu daripada lima lesen bank digital yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pemohon yang berkelayakan menjelang suku pertama 2022. Inisiatif itu muncul setelah pengumuman BNM mengenai pengeluaran lesen bank digital pada Disember 2020 melalui Dokumen Dasar mengenai Kerangka Perlesenan untuk Bank Digital.

UTUSAN MALAYSIA mewawancara Timbalan Pengerusi dan Pengasas AWQAF, Mohammad Sahar Mat Din, bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berkenaan inisiatif tersebut. 

 

UTUSAN: Huraikan mengenai wakaf dan wakaf korporat. Bagaimana institusi korporat dan orang ramai boleh menyumbang kepada untuk tujuan ini?

MOHAMMAD SAHAR: Wakaf korporat berperanan membawa pendekatan yang lebih adil ke dalam institusi korporat tanpa menidakkan budaya yang baik seperti keperluan melaksanakan susun atur organisasi yang kukuh dan berstruktur, urus tadbir yang baik serta ketelusan dalam setiap keputusan. Institusi korporat akan didedahkan dengan formula keadilan sosial ekonomi kerana objektif wakaf korporat tidak bertunjangkan keuntungan semata-mata malah meletakkan sepenuh keyakinan bahawa setiap pelaburan yang dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan ketulusan pasti menjana perolehan yang baik yang akhirnya akan diagihkan kepada penerima manfaat.

Ini sekaligus menghalang keinginan untuk mengambil peluang semaksimum mungkin tanpa mengambil kira keadaan orang lain. Dengan adanya institusi sebegini akan memberi keyakinan kukuh kepada pelabur dan orang ramai bahawa keberadaaan AWQAF dalam bidang korporat adalah untuk menjaga semua pemegang kepentingan tanpa mengira latar belakang.

 

Kongsikan tentang penubuhan AWQAF sebagai satu institusi wakaf serta matlamat utama penubuhan ini.

Matlamat AWQAF ialah menggunakan kaedah perniagaan untuk memperkasa golongan lemah ekonomi dan memangkin generasi masa depan umat Islam khasnya memberi akses kepada peluang perniagaan dan korporat supaya tidak dipinggirkan golongan korporat swasta eksklusif bermodal besar seperti berlaku di bawah anjuran sistem kapitalis liberal yang diamalkan di peringkat global selama ini.

AWQAF menjadi entiti kedua wakaf korporat selepas Waqaf An-nur (Wancorp) di Malaysia bagi meneruskan kesinambungan menerajui institusi wakaf dalam mendepani cabaran pasaran terbuka masa kini yang rata-rata didominasi oleh pengamal kapitalis yang tidak meletakkan keadilan sosioekonomi sebagai teras kepada korporat masing masing.

Atas keinsafan untuk menjadikan entiti wakaf korporat sebagai benteng ekonomi Malaysia maka Awqaf memainkan peranan menjadi platform menyelamatkan ekonomi ummah.

 

Apakah yang membezakan AWQAF daripada institusi wakaf lain dari segi perkhidmatan dan model perniagaannya?

Wakaf Korporat adalah institusi unik yang sangat berbeza dengan yayasan atau badan amanah yang ditubuhkan oleh syarikat-syarikat milik swasta. Perbezaan paling asas ialah hakikat bahawa Wakaf Korporat bukan dimiliki oleh mana-mana entiti swasta atau golongan eksklusif korporat tertentu.

Wakaf Korporat berdiri atas keyakinan bahawa ekonomi adalah milik ummah dan semua pihak mempunyai bahagian dalam kekayaan negara. Wakaf Korporat juga ditubuhkan dengan keyakinan bahawa aset dan pemilikan wakaf akan kekal dan terus dilestarikan agar kebergantungan institusi wakaf kepada sumbangan masyarakat tidak menjadi satu bebanan umum.

 

Apakah cabaran dan peluang dalam penggunaan model wakaf korporat?

Cabaran kepada pentadbir wakaf di Malaysia selaku pemegang amanah tunggal untuk membangunkan aset-aset wakaf ini sehingga mengakibatkan banyak hartanah wakaf masih belum digembleng secara sewajarnya berpunca daripada masalah kekurangan dana. Tambahan pula, masih ada kurang kesedaran tentang wakaf secara umum dan Wakaf Korporat termasuk potensi pembangunan ekonomi, bukan sahaja untuk umat islam, tetapi termasuk seluruh komuniti.

Model Wakaf Korporat belum diuji sepenuhnya kerana stigma dalam kalangan pengamal wakaf yang melihat wakaf masih bersifat tradisional dan jumud. Dalam mendepani dunia hari ini dengan kepelbagaian kemudahan dan teknologi, pengamal wakaf khususnya wakaf korporat mesti berani bergerak dengan progresif agar dapat mengukuhkan asas dan pemahaman masyarakat tentang wakaf korporat dan perjuangannya dalam menjadi pengganggu kepada sistem ekonomi kapitalis.

 

Apakah strategi utama AWQAF untuk menambah baik peranannya sebagai sebuah institusi wakaf korporat?

Pengukuhan AWQAF berdasarkan strategik utama melalui empat portfolio strategik perniagaan sedia ada iaitu pendidikan, kesihatan, hartanah dan teknologi.

Bagi 2020/21, AWQAF telah memulakan inisiatif pelaburan yang terdiri daripada usaha mengambil alih dan menyambung operasi membangunkan Sekolah Antarabangsa Integrasi Al-Hamra, Kota Damansara. Satu inisiatif pelaburan yang penting bagi AWQAF untuk bersama-sama memperkasa institusi pendidikan yang menjadi denyut nadi dalam pembangunan generasi akan datang.

Walaupun AWQAF belum dapat menceburi bidang hartanah secara serius namun berbekalkan pengalaman lalu, usaha mencari projek hartanah berskala sederhana yang sesuai untuk dibangunkan, yang mana usaha ini akan dibuat dalam bentuk sendirian ataupun kolaborasi strategik bersama agensi-agensi yang berkaitan kerajaan dan swasta bagi mengembangkan dan menambah nilai sumber dana wakaf.

Akhir sekali, melihat potensi yang begitu besar dalam teknologi digital, AWQAF turut mengorak langkah mengambil peranan sebagai salah satu Ahli Pengasas Pemegang Saham dalam penubuhan Bank Wakaf Digital.

 

Bagaimana penubuhan Bank Wakaf Digital  ini dapat memastikan sistem wakaf korporat boleh dilaksanakan dengan efisien?

AWQAF menyambut baik peruntukan lesen bank digital ini, seiring dengan perkembangan inovasi e-niaga yang melahirkan trend, amalan, proses dan persaingan baharu dalam dunia kewangan yang menghasilkan industri baharu, perniagaan baharu, generasi pengusaha baharu serta kekayaan kewangan dan fizikal yang baharu.

E-niaga dan bank digital di China telah menghasilkan kemajuan dan kekayaan luar biasa kepada rakyat dan negara dalam tempoh kurang dua dekad. Di Malaysia, e-niaga yang mencecah RM24 bilion pada 2019 dijangka akan berganda menjadi RM52 bilion pada 2024. Bank digital adalah komponen wajib dalam ekosistem e-niaga, menjalankan fungsi yang berbeza dari fungsi bank-bank yang ada sekarang.

Sistem perbankan digital yang digabungkan dengan amalan wakaf akan memungkinkan semua umat Islam terlibat dalam sistem kewangan Islam yang berteknologi tinggi, sekaligus membawa sistem wakaf korporat kepada cara yang lebih sistematik, efisien, mudah dan selamat.

 

Apakah langkah seterusnya jika salah satu lesen yang dikeluarkan oleh BNM diperuntukkan untuk wakaf?

Langkah utama yang harus dilaksanakan oleh AWQAF bersama-sama rakan pemegang saham iaitu Halim Mazmin Berhad dan Kumpulan Majalah Karangkraf Sdn. Bhd. adalah untuk menghimpun dana sejumlah RM100 Juta sebagai modal awal kepada bank digital tersebut.

AWQAF percaya apabila objektif penubuhan bank wakaf digital difahami iaitu  bagi memastikan memenuhi keperluan the unserved terutama pihak yang tidak dapat diberikan perkhidmatan oleh bank konvensional maka masyarakat akan memilih untuk bersama Awqaf Islamic Digital Bank (AIDB) sebagai alternatif aktiviti perbankan. Tugas AWQAF dan ahli-ahli pengasas adalah untuk memastikan struktur AIDB dapat memberi pendekatan yang lebih segar dalam perbankan Islam di Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN