KUANTAN: Hanya bermula mencipta sesuatu dengan permainan lego diminatinya, Maryam Muzamir, 11, kini mencipta kejayaan berganda dalam pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara.
Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (P) Methodist di sini itu berjaya memenangi tiga anugerah utama iaitu pingat emas, Anugerah Istimewa Kanada dan Anugerah Istimewa Inventor Muda Terbaik sempena The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 yang diadakan di Toronto, Canada.
Pertandingan secara dalam talian yang diadakan pada 28 Ogos lalu berikutan pandemik Covid-19 itu disertai lebih 600 peserta dari 70 negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapanya, Profesor Madya Dr. Muzamir Hassan berkata, Maryam pemenang termuda dalam pertandingan berkenaan yang turut disertai 96 peserta Malaysia yang ada antaranya memenangi anugerah daripada pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Menurutnya, dalam pertandingan itu, Maryam mencipta produk makanan haiwan ternakan berasaskan bahan buangan iaitu kulit udang dan kulit siput sedut.
“Projek ini bermula awal tahun lalu. Selepas melalui beberapa proses kaedah cuba jaya, akhirnya Maryam berjaya mendapat formula terbaik bagi produk ini,” katanya di sini semalam.
Menurut Muzamir, peserta berdepan cabaran menunjukkan produk kepada panel penilai kerana kaedah pertandingan secara dalam talian.
“Panel tidak dapat melihat produk secara fizikal namun untuk menyakinkan mereka, Maryam menyediakan semua dokumen tambahan bagi mengatasi masalah itu antaranya menyediakan video, poster dan pamplet yang komprehensif, sekali gus menarik perhatian panel dengan persembahannya,” katanya.
Muzamir yang bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang (UMP), berkata, pencapaian cemerlang anak sulung daripada dua beradik itu mendorongnya menghantar Maryam menyertai pertandingan di iCAN.
“Bermula dengan permainan lego pada usia enam tahun, Maryam mula menyukai rancangan televisyen dan menonton video berunsur reka cipta dan inovasi.
“Bakatnya turut disedari guru sekolahnya tahun lalu selepas dia mula menyertai pertandingan inovasi dan reka cipta yang diadakan ketika itu,” katanya.
Maryam adalah pemenang pingat emas dalam tiga pertandingan yang disertainya di peringkat kebangsaan iaitu Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2020, diikuti CITREX 2021 anjuran UMP dan ketiga di International Research Invention, Innovation and Exhibition (I-RIE) 2021 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sementara itu, Maryam berkata, dia amat terharu namun dalam masa sama berbangga kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dengan menewaskan peserta-peserta hebat dari pelbagai negara.
“Saya sukakan cabaran dan berminat untuk mereka cipta atau melakukan inovasi terhadap sesuatu perkara yang dapat memberi manfaat kepada pihak lain,” katanya. -UTUSAN










