Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 45 set bubu naga  - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 45 set bubu naga 

SEBANYAK 45 set bubu naga dirampas Maritim Malaysia di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi, Pulau Pinang antara pukul 5 petang hingga 5.45 petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 45 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi, dekat sini antara pukul 5.petang hingga 5.45 petang semalam. 

 

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat berikutan pengesanan semasa rondaan rutin Op Benteng Laut dan Op Pertiwi di perairan Pulau Pinang. 

 

Menurut beliau, semasa rondaan tersebut bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air dan disyaki penanda bubu naga. 

 

“Pemeriksaan di keempat-empat lokasi telah menemukan sejumlah 45 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM5,400 dan dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Menurut Abd. Razak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain. 

 

Tegasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. 

 

“Sehubungan itu, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,” katanya. 

 

Tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram itu dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. 

 

Menurutnya, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN