Malaysia hanya ada 15.8 peratus penyelidik sektor industri - Utusan Malaysia

Malaysia hanya ada 15.8 peratus penyelidik sektor industri

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengkaji mekanisme bersesuaian bagi meningkatkan peratusan penyelidik tempatan dalam sektor industri negara.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ini termasuk usaha bagi mengatasi jurang antara penyelidik dalam sektor industri dan universiti.

 

Beliau berkata, ketika ini, hanya 15.83 peratus penyelidik berada di dalam sektor industri, manakala 79.2 peratus lagi berada di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

 

“Jika diamati, negara-negara yang berpaksikan inovasi ini mempunyai lebih daripada 40 peratus penyelidik mereka di dalam sektor industri. 

 

“Buat masa ini, kementerian menerusi inisiatif  Researcher Industry Scientific Exchange (RISE) sedang digerakkan bagi membolehkan penempatan penyelidik di industri bagi membantu menyelesaikan masalah bagi meningkatkan produktiviti,” katanya dalam Majlis Pengumuman Top Research Scientist Malaysia (TRSM) 2021, secara maya, pagi ini.

 

Adham berkata, beliau melihat masih banyak ruang dan peluang bagi negara untuk memacu ekonomi inovatif berlandaskan penyelidikan dan pembangunan.

 

Kata beliau, ketika ini, negara hanya membelanjakan 24.5 peratus untuk aktiviti 

melibatkan prototaip, perintis dan peningkatan produk dan kurang melabur dalam aktiviti penyelidikan ekspertimental pra-pengkomersialan. 

 

Menurutnya, negara-negara lain yang berinovasi tinggi membelanjakan lebih daripada 50 peratus bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah.

 

“Bagi menyelesaikan masalah ini, kementerian menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030), memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus dana pembangunan dan peyelidikan (R&D) untuk aktiviti penyelidikan pra-pengkomersialan,” katanya.

 

Terdahulu, pada majlis itu, seramai 22 saintis tempatan dalam pelbagai kepakaran diumumkan sebagai penyelidik terbaik menerusi TRSM 2021 yang diiktiraf atas sumbangan signifikan serta pencapaian cemerlang dalam bidang penyelidikan sains, teknologi dan inovasi (STI).

 

Pengiktirafan TRSM 2021 diberikan Akademi Sains Malaysia (ASM) kepada saintis tempatan berdasarkan pelbagai kriteria iaitu menghasilkan penulisan penyelidikan baharu berimpak tinggi, diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menjana potensi nilai tambah kepada sosio ekonomi negara. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN