PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) akan sentiasa menggalakkan pembangunan iniasiatif dan projek berorientasikan rakyat, mudah serta cepat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, satu pelan tindakan merentas kementerian dan agensi dibangunkan sebagai panduan kepada program dan aktiviti yang berkaitan.
Beliau berkata, projek sedia ada yang terbukti dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat seperti Community Drumming, Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan serta Barang Kawalan dan Subsidi meliputi beras, tepung, gula, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan Petroleum akan terus ditambah baik bagi memastikan ia tersalur kepada golongan sasar selain mengurangkan ketirisan.
“Kementerian juga sudah memulakan kajian rasionalisasi subsidi untuk mengenal pasti modul pemberian subsidi yang berimpak dan sampai kepada golongan sasaran.
“Penguat kuasa KPDNHEP pula beserta pegawai pemantau harga akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan barang keperluan sentiasa mencukupi dan harga dalam terkawal di seluruh rantaian bekalan,” katanya sebagai mengulas langkah kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk terus konsisten menangani isu kos sara hidup rakyat melalui aspek kesamarataan.
Dalam pada itu, Alexander berkata, KPDNHEP turut komited bersama kerajaan dalam merancakkan lagi sektor perkhidmatan berkaitan perdagangan pengedaran yang merangkumi perdagangan borong dan runcit, pasar raya besar dan pasar raya serta perniagaan francais dan jualan langsung.
“Secara konsistennya, ia adalah antara penyumbang pelaburan utama kepada sektor perkhidmatan negara dan juga Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
“Pemodenan semua sub-sektor ini akan dilaksanakan melalui inisiatif pendigitalan di bawah program MyDigital termasuklah menambah baik aplikasi ez-Aduan, Price Catcher, My Sales Tracker, MyHarga, Spacedeal, Chatbot Sara, Enforcement Command Centre dan ReDI,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, untuk menyokong memperkembangkan ekonomi gig dalam RMK-12, KPDNHEP bersama MYCC iaitu sebuah agensi di bawah KPDNHEP telah lebih dulu mengadakan libat urus berterusan dengan pemain utama industri ini.
Katanya, ia melibatkan seperti Shoppe, Lazada, Grab, Food Panda dan Airasia Food agar satu ekosistem yang kondusif dan iklim persaingan sihat dapat diwujudkan antara pengguna,
vendor, operator dan pekerja-pekerja penghantaran.
Dalam aspek dana harta intelek seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Alexander berkata, KPDNHEP akan mengarahkan MYIPO, sebuah agensi di bawah kementerian untuk memperhebatkan usaha membantu lebih ramai usahawan dalam kalangan belia untuk memfailkan harta intelek mereka seperti cap dagangan, paten, hak cipta dan reka bentuk perindustrian. -UTUSAN ONLINE









