ALOR SETAR: Kalangan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan kembali ke kampus untuk menyambung pelajaran masing-masing perlu memenuhi syarat lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, proses kepulangan mahasiswa ke kampus itu akan dilakukan mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“UUM telah membuat perancangan teliti dengan mengenal pasti mahasiswa, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga universiti melalui proses kesihatan ketat seperti disarankan KPT.
“Bagi mahasiswa yang tidak pulang ke kampus pula, UUM tetap memberi perhatian termasuk kebajikan mereka sepanjang berada di rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Haim Hilman yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor UUM berkata, sehingga 14 September 2021, kira-kira 3,000 mahasiswa lama telah mendaftar untuk kembali ke kampus manakala 5,200 mahasiswa baharu telah menerima surat tawaran kemasukan ke UUM.
“Tarikh pengesahan untuk kembali ke kampus bagaimanapun masih dibuka hingga hujung September ini. Proses kemasukan mahasiswa akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sektor pendidikan tinggi berkaitan pengoperasian institut pengajian tinggi (IPT).
“Justeru, SOP yang ketat akan diamalkan bagi menguruskan pergerakan keluar dan masuk juga melibatkan mahasiswa antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, mahasiswa yang belum menerima suntikan vaksin pula boleh menghubungi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk mendapatkan vaksinasi secara ‘walk in’ di pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan. -UTUSAN ONLINE