Lukisan mural jadi tarikan terbaharu di Tampin - Utusan Malaysia

Lukisan mural jadi tarikan terbaharu di Tampin

S. Veerapan (dua dari kanan) dan Suhaiza (tiga dari kiri) melihat projek lukisan mural yang terletak di sempadan Tampin dan Pulau Sebang, di Tampin, kelmarin.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Majlis Daerah Tampin (MDT) mengambil inisiatif dengan menandakan sempadan di antara dua lokasi yang terletak bersebelahan iaitu Tampin di Negeri Sembilan dan Pulau Sebang di Melaka menerusi projek lukisan mural.

Yang Dipertua MDT, Suhaiza Sharudin berkata, projek pengindahan tersebut merupakan sebahagian daripada projek pelancongan yang sedang dilaksanakan di daerah berkenaan bagi menarik kedatangan pelancong.

Projek itu menerima peruntukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM250,000 membabitkan lukisan mural di 16 buah blok dinding dengan 437 meter persegi termasuk pemasangan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) dan kamera litar tertutup (CCTV).

“Projek ini agak istimewa dan unik kerana orang ramai berpeluang merakamkan kenangan di mural di sini yang lukisannya terletak di Negeri Sembilan namun mereka pula berdiri di Melaka.

“Lukisan mural ini bertemakan ciri-ciri tradisi, tempat menarik yang ada di dalam daerah ini antaranya Gunung Tampin serta produk kraftangan iaitu bekas mengkuang yang dianyam dan kebiasaannya diletakkan dodol di dalamnya,” katanya selepas melakukan lawatan ke projek tersebut di sini kelmarin.

Jelas beliau, mural tersebut merupakan hasil lukisan tiga orang pensyarah dari Jabatan Landskap dan Alam Sekitar, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Dalam pada itu, tambah, Suhaiza berkata, projek berkenaan juga secara tidak langsung akan dapat mengindahkan bangunan-bangunan lama yang terdapat di pekan berkenaan.

 

“Kami berharap pemilik bangunan lain akan dapat mengambil inisiatif dengan turut mengindahkan bangunan masing-masing,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S. Veerapan berharap, agar lebih ramai lagi individu dapat datang ke daerah ini selepas mural tersebut siap dan tempat pelancongan lain yang tersedia untuk dikunjungi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya