Longgarkan syarat untuk jadikan hotel sebagai PKRC risiko rendah 

Longgarkan syarat jadikan hotel sebagai PKRC risiko rendah 

YEOH SOON HIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) diharap dapat melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi membolehkan hotel-hotel di negeri ini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) berisiko rendah. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, langkah itu akan menyediakan satu lagi pilihan kuarantin di bawah tanggungan sendiri kepada pesakit Covid-19 berisiko rendah. 

Apatah lagi tambah beliau, banyak pemilik hotel menyatakan minat untuk menjadikan hotel mereka sebagai PKRC terutama ketika kes Covid-19 di Pulau Pinang meningkat pada masa ini. 

“Namun kerana syarat yang ketat banyak hotel tidak dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh JKNPP. 

“Jadi kita harap JKNPP dapat melonggarkan syarat sedia ada supaya lebih banyak hotel dapat dijadikan PKRC bagi menampung pesakit serta kontak rapat Covid-19 yang mampu dan mahu membayar caj perkhidmatan yang dikenakan pihak hotel,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Dalam perkembangan sama Soon Hin (DAP-Paya Terubong) berkata, hotel bertaraf empat bintang, Royal Chulan Penang di sini juga akan menjadi PKRC berisiko rendah mulai hari ini dengan satu pasukan perubatan disediakan di situ. 

“Setakat 1 September, kita menerima satu permohonan dari hotel  di bahagian pulau manakala dua hotel di Seberang Perai untuk dijadikan sebagai PKRC. 

“Kesemua permohonan ini telah dipanjangkan kepada JKNPP dan kita berharap perbincangan segera dapat dijalankan supaya lebih banyak hotel dapat dijadikan PKRC untuk menampung kekurangan sedia ada,” katanya. 

Tambahnya, PKRC di hotel juga dapat membantu rakyat yang mementingkan keselamatan serta keselesaan ketika menjalani kuarantin memandangkan situasi di rumah yang kurang sesuai. 

Dalam pada itu, Soon Hin berkata, kerajaan negeri akan menumpukan kepada pemulihan sektor pelancongan domestik sementara menunggu pintu sempadan antarabangsa dibuka. 

“Setakat ini lebih 90 peratus pekerja di sektor pelancongan dan industri kreatif di negeri ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. 

“Ini sebagai persediaan untuk membolehkan industri pelancongan negeri untuk terus bergerak serta pulih semula selepas terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN