KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memilih jalan melompat parti disifatkan mencalar kredibiliti sebagai pemimpin yang berjuang untuk rakyat.
Pembelotan kepada parti sedia ada tidak akan membawa faedah, sebaliknya hanya mencemarkan kesucian Parlimen sebagai badan penggubal dasar, malah menjejaskan imbangan kuasa terhadap kerajaan mentadbir.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, apa pun alasan yang diberikan ahli politik untuk melompat parti, ia tetap menyentuh soal maruah yang tidak boleh diganti dengan wang ringgit atau imbuhan lain.
“Pemimpin yang bersikap seperti ini sangat tidak wajar kerana dia sudah melakukan khianat terhadap amanah yang dimandatkan oleh rakyat di kawasannya. Dia boleh beri pelbagai sebab tetapi secara moralnya tiada apa lagi yang boleh dibanggakan.
“Saya minta supaya pemilihan calon-calon wakil rakyat akan datang carilah pemimpin yang benar-benar berwibawa, faham akan perjuangan parti dan rakyat dan bukannya sekadar tangkap muat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Baru-baru ini, ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau recall perlu diadakan bagi menghalang wakil rakyat daripada melompat parti demi kepentingan sendiri.
Ketika ini, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti masih belum dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan walhal ia dilihat sebagai langkah berkesan bagi mengelakkan lebih ramai ahli politik melompat parti.
Pun begitu, kelulusan RUU berkenaan memerlukan pindaan terhadap Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan semua warganegara berhak dan bebas bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Ketika pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Februari tahun lalu, 11 ahli Parlimen PKR dikepalai Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azli Ali mengisytiharkan keluar parti bagi membentuk blok bebas dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Senada dengan Othman, veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahari berkata, ahli Parlimen dan ADUN mesti menghormati pengundi masing-masing dan tidak membelakangkan mereka dalam apa jua keputusan yang dibuat.
Beliau percaya, pengundi wakil tidak akan memberikan peluang kedua kepada mereka dalam pilihan raya umum akan datang kerana dibimbangi sejarah pengkhianatan akan berulang.
“Sekarang ibarat menjadi satu bentuk perniagaan kepada ahli-ahli politik. Mereka lebih pentingkan peribadi masing-masing dan mendapatkan untung.
“Mereka melompat parti bermakna ada tawaran jawatan dan habuan lain. Jadi, mesti cari pemimpin yang ikhlas, jujur dan istiqamah terhadap parti dan rakyat,” katanya.- UTUSAN ONLINE










