Lima lelaki ditahan, 20 senjata api buatan sendiri dirampas - Utusan Malaysia

Lima lelaki ditahan, 20 senjata api buatan sendiri dirampas

SIMIUN Lomudin (dua kiri) menunjukkan hasil rampasan senjata api buatan sendiri dalam serbuan di Ranau, baru baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANAU: Lima lelaki ditahan bersama senjata api buatan sendiri dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada 10 September lalu.

Kesemua lelaki berusia 29 hingga 57 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti membuat dan menjual senjata api buatan sendiri.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Simiun Lomudin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas 20 laras senjata api jenis bakakuk, ginsuk, senapang angin dan senapang guli serta lebih 50 peluru hidup.

Tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 30an ditahan di Kampung Kigiok, Ranau oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan bantuan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas dua laras senjata api bersama 11 butir peluru hidup dan 30 butir palet senapang angin serta peralatan membuat senjata api seperti mesin pengimpal dan kikir batang paip besi.

Berdasarkan maklumat suspek yang ditahan, polis meneruskan operasi dengan melakukan serbuan di beberapa lokasi sekitar daerah ini dan berjaya menangkap empat lagi lelaki yang terlibat dalam aktiviti yang sama.

“Semasa serbuan itu, polis berjaya merampas tujuh laras bakakuk dan 11 laras senapang bersama peluru hidup dan palet senapang angin,” katanya semasa sidang akhbar dekat sini, hari ini.

Jelas beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Simiun berkata, pihaknya memandang serius isu pemilikan senjata api dan operasi mengekang pemilikan dan pembuatan senjata api buatan sendiri akan diteruskan dari masa ke semasa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek memberi alasan bahawa senjata api dimiliki kerana faktor keselamatan bagi mengawasi tanaman dan juga memburu.

“Operasi mengekang pemilikan dan pembuatan senjata api buatan sendiri tanpa lesen yang sah akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang dalam aspek penggunaan dan pemilikan mahupun pembuatan senjata api.

“Polis tidak  akan berkompromi dengan sesiapa yang melanggar undang-undang berkenaan maka, sesiapa yang memiliki senjata api tanpa lesen harus menyerahkan senjata itu kepada polis bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN