LHDN serah 200 bakul makan kepada MAIM  - Utusan Malaysia

LHDN serah 200 bakul makan kepada MAIM 

ZUBAIDAH Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada Muhammad Ikram Ibrahim (tiga dari kanan) pada program CSR Hasil Prihatin LHDN Peringkat Pejabat Pengarah Negeri, Negeri Sembilan dan Melaka di bangunan MAIM Bukit Palah. UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerima 200 set bakul makanan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hasil Prihatin.

Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim berkata, bakul makanan itu akan diagihkan kepada golongan sasaran seperti miskin tegar dan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, program tersebut merupakan CSR LHDN untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

“Setiap set bakul makanan bernilai RM100 yang terdiri daripada barang keperluan asas seperti beras, tepung, susu, gula dan minyak masak. Saya pasti sumbangan ini akan dimanfaat sebaiknya oleh penerima,” katanya pada Program CSR Hasil Prihatin peringkat Pejabat Pengarah Negeri Melaka di sini hari ini. 

Hadir sama Pengarah LHDN negeri, Zubaidah Hamzah.

Tambah Muhammad Ikram, set bakul makanan itu akan diserahkan sendiri oleh MAIM kepada penerima berbanding menyerahkan kepada organisasi atau institusi tertentu untuk menguruskannya.

“Ini kerana inisiatif MAIM seperti kit bantuan makanan kecemasan (musaadah) akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun), masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, badan kebajikan dan sebagainya untuk diagihkan.

“Justeru, agihan kali ini sedikit berbeza kerana kami sendiri akan menyerahkan kepada penerima dan maklumkan kepada mereka siapa yang memberi sumbangan,” ujarnya. 

Sementara itu, berhubung penglibatan syarikat korporat dalam memberi bantuan, Muhammad Ikram berkata, pelbagai syarikat telah tampil menghulurkan antaranya Tabung Haji dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

Katanya, sumbangan yang diterima adalah dalam pelbagai bentuk antaranya bakul makanan dan wang tunai.

“Terima kasih kepada syarikat-syarikat korporat yang percaya dan yakin dengan penilaian MAIM terhadap penerima sumbangan dan kami akan salurkan bantuan ini dengan sebaik mungkin,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN