KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggesa kerajaan supaya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kewarganegaraan bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang berasal dari Malaysia.
Beliau berpendapat, pendirian kerajaan untuk tidak memberikan kerakyatan kepada seorang bayi hanya kerana dia dilahirkan di luar negara dan ibunya warganegara Malaysia adalah satu diskriminasi terhadap golongan wanita.
Beliau juga menganggap tidak wajar menghukum golongan wanita dan anaknya yang tidak boleh menjadi warganegara semata-mata bernikah dengan orang luar dan lahir di luar negara.
“Saya terbaca satu laporan di internet berkenaan dengan DNA (genetik) seorang anak yang lahir kepada ibu bapa, sebenarnya dari segi darah, dia 50-50. Tak ada pula kalau keluar anak maka bapa mungkin mempunyai 70 peratus dari darah dan wanita 30 peratus, tak betul itu.
“Kalau ini satu perkara yang telah dikaji dan didapati betul maka tidak berbangkitlah soal seseorang itu tidak merupakan warganegara tulen kerana ibunya melahirkannya di luar negara dan dianggap sebagai bapanya luar negara maka berhak jadi warganegara bapanya,” katanya dalam sesi perbahasan Titah Diraja hari ini.
Sebab itu, beliau tidak setuju sekiranya kerajaan membuat rayuan di atas keputusan yang telah dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi.
“Saya langsung tidak bersetuju. Kebiasaannya rayuannya ini selalunya diberikan kepada pihak defendan kalau peringkat Mahkamah Tinggi, hakim mendapati bahawa seseorang itu berjaya membawa kes terhadap kerajaan atau minta hakim buat satu keputusan kalau tidak memihak kepada orang merayu maka saya kira hak untuk merayu perlu diberi kepada orang yang bawa kes terhadap kerajaan.
“Tetapi apabila mahkamah buat keputusan, kerajaan tidak perlu merayu,” katanya.
Justeru, beliau meminta kerajaan supaya bersikap belas ihsan terhadap golongan wanita di negara ini.
“Berilah ihsan kepada kaum wanita dan juga anak yang tidak berdosa. Anak bukan boleh minta dalam perut mak dia untuk memohon supaya dia lahir di mana, dia tidak ada keupayaan.
“Ini bukan sahaja melakukan diskriminasi terhadap kaum wanita tetapi juga melakukan satu kesalahan kepada bayi yang lahir tidak berdosa dan tidak tahu-menahu kalau dia lahir di luar negara maka dia tidak boleh menjadi warganegara,” katanya.
Pada masa sama, Nazri berkata, setiap individu mempunyai hak untuk menjadi warganegara sebaik sahaja dia berusia 18 tahun.
“Saya terbaca jawapan yang diberi kerajaan yang mengatakan bahawa tidak boleh ada dua warganegara. Setahu kita, apabila dia membesar, dia boleh buat keputusan sama ada mahu menjadi warganegara dia lahir atau mahu jadi warganegara mengikut ibu dan bapanya. Itu pilihan yang diberikan kepada mereka yang sudah sampai 18 tahun.
“Kalau itulah jawapan kementerian kepada pihak memohon untuk menjadikan anak dia warganegara iaitu kerana lahir di luar negara maka menjadi warganegara kepada negara kelahirannya, saya rasa itu tidak betul, kerana hak memilih untuk menjadi warganegara akan terdapat pada seseorang individu apabila dia berusia 18 tahun, dia ada pilihan,” katanya.
Oleh itu, beliau berpandangan kerajaan tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk membuat rayuan.
“Seperti juga dengan Sultan Johor, kalau boleh kerajaan mesti bersikap sayang iaitu Keluarga Malaysia seperti diperkenalkan Perdana Menteri baharu.
“Keluarga yang satu, tapi dari mula lagi kita tolak orang yang benar-benar nak jadi warganegara Malaysia tanpa memberi hak kepada dia untuk memutus, saya rasa itu tidak adil. Saya fikir kerajaan tidak bersikap seperti mana dimahukan Perdana Menteri kerana kita keluarga besar,” katanya.
Beliau juga menganggap, kerajaan seharusnya mengalu-alukan lebih ramai individu untuk menjadi warganegara bukannya mengurangkan bilangan populasi negara.
“Sepatuntya bukan mengurangkan keluarga tapi menambah bilangan keluarga apatah lagi kalau seseorang itu tidak bersalah dalam soal nak menjadi warganegara. Jadi tariklah balik, tidak ada makna semua ini, tidak perlu dilakukan.
“Saya tengok kerajaan negara lain, kalau rakyat Malaysia, dia dilahirkan di Amerika, mereka akan cari budak itu apabila genap 18 tahun, kerana apa? Kerana mereka nak tuntut cukai pendapatannya, itu yang patut kita fikir, kita perlukan lebih ramai. Jadi tak payah melanjutkan perkara ini, tarik serta-merta,” katanya.- UTUSAN ONLINE