KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan supaya bertindak lebih tegas terhadap pembalakan haram yang masih berleluasa di negara ini.
Beliau menyifatkan, walaupun Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberikan jawapan yang meyakinkan di Parlimen, realitinya pembalakan haram masih terus berlaku.
“Persoalan ini bukan baharu, ia sudah menjadi masalah kepada negara puluhan tahun.
“Saya teliti semua jawapan kementerian yang lalu pada tahun 2020 dan jawapan-jawapan itu bunyi meyakinkan tetapi kenyataan sekarang ini apa?
“Pembalakan haram masih berleluasa, kelulusan yang tidak mengikut kaedah persetujuan bersama yang diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Negara masih berlaku,” katanya di Dewan Rakyat.
Pada masa sama, Anwar menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mempertikai undang-undang dan dasar-dasar kerajaan terhadap pembalakan haram, malah bersedia untuk membantu kerajaan menangani masalah tersebut.
Sebaliknya, beliau mempersoalkan pemantauan dan tindakan kerajaan walaupun mempunyai pelbagai peruntukan undang-undang, dasar yang terperinci dan kemudahan yang canggih.
“Soalannya mengapa pembalakan haram yang memusnahkan persekitaran menyebabkan banjir dan lain-lain itu berterusan walaupun dasar-dasar itu berjalan terus, itu yang saya nak tegaskan, bukan ambil tindakan-tindakan kecil.
“Pengalaman saya masa kita buka Universiti Utara Malaysia (UUM), pembalakan haram berlaku. Apabila ditanya, tidak kelihatan katanya, tanah dah botak, lori balak dibawa keluar, kalau jarum saya faham agak rumit, jadi perkara ini tidak boleh diizinkan berlaku dan kita minta menteri ada keazaman politik (political will), garis untuk menangani masalah pembalakan haram dengan tegas di negara kita,” katanya.
Bagaimanapun, Takiyuddin mengakui bahawa kerajaan hanya boleh mengurangkan dan meminimumkan kesalahan dengan antaranya pelaksanaan penguat kuasaan undang-undang.
“Memang ia menjadi suatu kesalahan yang berterusan daripada dulu, zaman Port Dickson jadi Timbalan Perdana Menteri dulu pun, macam inilah juga,” katanya.- UTUSAN ONLINE