Kudrat muda raih RM8,000 jual jagung - Utusan Malaysia

Kudrat muda raih RM8,000 jual jagung

AHMAD MAZRAN Abdul di kebun jagungnya seluas 0.4 hektar di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang bekas pekerja gudang ikan memperoleh pendapatan RM8,000 bagi setiap satu pusingan hasil tanaman jagung di kawasan 0.4 hektar yang diusahakannya selepas ketiadaan pekerjaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Mazran Abdul, 26, berkata, dia berhenti kerja di sebuah gudang ikan di Melaka akibat penularan pandemik Covid-19 tahun lalu dan pulang ke kampung memulakan tanaman jagung di kawasan tanah milik Felda di situ.

Anak muda yang masih bujang itu berkata, pada awal kepulangannya, dia cuma membantu ibu bapanya menguruskan tanaman jagung dan sayur-sayuran di tapak berkenaan dan pasarannya agak tidak begitu meluas berikutan penguatkuasaan PKP.

“Tanpa pengalaman dan kemahiran berkebun sebelum ini, saya banyak mempelajari daripada ibu bapa ketika membantu mereka sejak tahun lalu sehinggalah kawasan tapak tanaman ini diserahkan kepada saya untuk memulakan hidup secara berdikari.

“Dengan wang simpanan sebanyak RM1,200 saya memulakan tanaman benih jagung pada pusingan pertama awal tahun ini dan berhasil tumbuh sebanyak 6,000 batang pokok di tapak ini,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini semalam.

Menurut Ahmad Mazran, dia juga dibantu oleh rakannya, Ahmad Mahtar, 33, untuk menguruskan tanaman itu seperti tugas membaja, meracun serangga dan pengairan sehingga tanaman itu mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, mereka memilih tanaman jagung kerana pengurusan tanaman itu lebih mudah termasuk pasaran dalam tempoh penguatkuasaan PKP di sekitar Felda Kota Gelanggi Dua, Felda Kota Gelanggi Empat dan Felda Tekam Utara.

“Kami bersyukur dan bernasib baik tanaman bagi pusingan kelima boleh dipasarkan bertepatan pula selepas tamat penguatkuasaan PKP Diperketakkan (PKPD) di lokaliti ini pada awal bulan ini. Sekiranya PKPD berlanjutan sudah tentu jagung ini lebih usia matang dan kurang laku di pasaran, ” katanya.

Selanjutnya, jelas Ahmad Mazran, hasil tanaman itu bagi satu pusingan biasanya, dia memperoleh 6,000 tongkol jagung dijual cuma dalam tempoh 10 hari dengan pendapatan kira-kira RM8,000.

“Tujuh tongkol (jagung) dijual dengan harga RM10 boleh dibeli di gerai hadapan kebun ini secara pandu lalu dan tempahan hantar dan bayar (COD).

“Kami sudah merancang untuk memulihkan sebuah lagi tapak yang disewa berdekatan kebun ini bagi memulakan tanaman sayur-sayuran tidak lama lagi memandangkan permintaan tanaman makanan ini semakin tinggi dalam tempoh pemulihan pandemik Covid-19 ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya