PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memutuskan pesakit kategori 2B iaitu bergejala ringan yang teruk akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu bagi memastikan individu terbabit menerima pemerhatian yang lengkap dan mengelakkan mereka beralih kepada kategori 3.
“Begitu juga pesakit kategori 3 yang selama ini boleh dikuarantin kendiri di rumah, turut akan dimasukkan ke PKRC yang berdekatan bagi pemantauan dan rawatan lebih intensif,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan tertinggi kementeriannya mengenai pelbagai isu berkaitan Covid-19.
Terdapat lima kategori klinikal setelah didiagnosis positif Covid-19 di negara ini dengan kategori 1 untuk mereka yang tiada bergejala langsung dan kategori 2 pula untuk ada simptom ringan.
Kelazimannya, PKRC ketika tempoh puncak lonjakan kes wabak tersebut beberapa bulan lalu hanya menempatkan pesakit kategori 4 iaitu ada radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen.
Tidak ketinggalan ialah pesakit kategori 5 yang dianggap sebagai kritikal dan amat perlu kepada bantuan pernafasan dengan purata jagaan di unit rawatan rapi (ICU) selama tempoh 21 hari.
Terdapat sejumlah 86 buah PKRC di seluruh negara mampu menempatkan lebih 244,000 orang pesakit dengan seramai 5,000 petugas yang diselia Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, perubahan tersebut turut mengambil kira senario semasa Covid-19 ketika ini yang semakin terkawal dengan kadar vaksinasi populasi yang sudah tinggi.
“Saya juga ingin memaklumkan situasi terkini secara am, kita dapat lihat penurunan sedikit jumlah kes Covid-19 dilaporkan dengan purata nilai Rt kini bawah 1.0 iaitu 0.97,” katanya.
Beberapa negeri malah menunjukkan situasi lebih baik iaitu Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala tujuh negeri pula masih trend mendatar.
Keadaan kurang stabil itu katanya, melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Johor dan Sabah, sementara Terengganu dan Sarawak menunjukkan trend peningkatan kes.
Justeru ujar beliau, tindakan pantas dan bantuan sewajarnya sudah dilaksanakan oleh kerajaan bagi negeri-negeri yang memerlukan perhatian termasuk membabitkan pelbagai agensi.
“Saya berharap kita dapat bersama-sama memastikan keadaan segera pulih di seluruh negara untuk memudahkan proses peralihan kepada fasa endemik agar berjalan lancar,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan mengenai tahap keselamatan vaksinasi kerana setakat ini, kes kematian hanya melibatkan 0.009 peratus daripada keseluruhan yang telah lengkap dua dos.
Majoriti besar kes terbabit di negara ini kata Khairy, malahan membabitkan penerima yang mempunyai rekod sejarah penyakit komorbid dan golongan sudah pun berusia lebih 60 tahun. -UTUSAN ONLINE