IPOH: Kerjasama MIC dalam Barisan Nasional (BN) akan terus kekal meskipun wujud perbezaan pandangan dalam kalangan parti-parti komponen.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perbezaan itu tidak sewajarnya dilihat sebagai satu bentuk permusuhan yang akan memecah belah parti.
“Kita kena sedar apabila kita ada pandangan yang berbeza, tidak bererti kita tidak bersama. Antara suami isteri pun, ada pandangan berbeza, apatah lagi di antara parti-parti politik.
“Kita memang ada pandangan berbeza, tetapi, hubungan antara UMNO, MIC dan MCA kekal bersama (dalam BN),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada balu pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas terlantar lapan bulan akibat diserang lelaki di rumahnya di Taman Buntong Ria di sini hari ini.
Menurut Saravanan, penubuhan tiga parti komponen terbesar di dalam BN itu bukan atas individu sebaliknya adalah satu bentuk perjuangan sejak negara belum mencapai kemerdekaan.
Katanya, ini dapat dilihat apabila BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), banyak parti meninggalkan gabungan itu dan hanya UMNO, MIC dan MCA sahaja yang kekal.
“Kita bukan parti yang baharu muncul untuk penuhi kehendak individu. UMNO, MCA dan MIC adalah sebuah perjuangan, kita akan ada perbezaan pandangan tetapi akhirnya kedudukan kita adalah sama.
“Sebab itu apabila BN kalah pada tahun 2018, semua parti lari, yang tinggal UMNO, MIC dan MCA. Itu pun ada juga orang kurang cerdik mendakwa apabila ada pandangan berbeza kita bermusuh. Sebenarnya tidak, sama sekali tidak,” katanya.
Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa pentadbiran kerajaan baharu yang ditubuhkan kini adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri daripada BN, Saravanan berkata, terpulang kepada pandangan individu.
“Terpulang kepada individulah untuk lihat dari sudut mana. Yang penting adalah kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE