Kerajaan Selangor peruntuk 50,000 vaksin SelVax Mobile  - Utusan Malaysia

Kerajaan Selangor peruntuk 50,000 vaksin SelVax Mobile 

PETUGAS kesihatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima yang menyertai SelVAX Mobile di Kompleks Pasar Besar Meru, Klang, Selangor hari ini- UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh menganjurkan Program Selangor Vaksin (SelVax) Mobile bagi memastikan penduduk termasuk warga asing di kawasan masing-masing tidak ketinggalan dalam mendapat suntikan vaksin Covid-19.

 

Menerusi program tersebut, sebanyak 50,000 dos diperuntukkan oleh kerajaan negeri dikhaskan yang akan diedarkan menerusi dua buah kenderaan melibatkan bas dan van dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud, sebanyak 750 dos vaksin sehari boleh diberikan menerusi program bermobiliti itu.

 

“Pihak yang berminat boleh menghubungi syarikat Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate) untuk menganjurkan SelVax Mobile di kawasan mereka, namun, perlu memastikan senarai nama penerima diperolehi terlebih dahulu.

 

“Kemudian, penerima pula perlu mendaftar dalam aplikasi Selangkah supaya rekod pengambilan vaksin dapat diselaraskan,” katanya selepas melawat SelVAX Mobile di Kompleks Pasar Besar Meru, di sini, hari ini.

 

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serdang itu mengalu-alukan pihak yang mahu menganjurkan program SelVax Mobile dan memaklumkan kerajaan negeri bersedia untuk membeli dos tambahan sekiranya terdapat keperluan menambah jumlah vaksin.

 

“Sekiranya cukup senarai 250 orang penerima vaksin bersedia menerima suntikan menerusi SelVax Mobile, maka, Selgate akan benarkan program itu dianjurkan dekat kawasan masing-masing.

 

“Bagaimanapun, mereka yang sudah mendapat temujanji menerusi SelVax Mobile itu perlu memaklumkan kepada pusat komuniti ADUN masing-masing bagi memudahkan pengurusan rekod. Tetapi, perkhidmatan walk-in tidak disediakan,” ujarnya.

 

Dr. Siti Mariah menambah, orang ramai boleh melayari laman Facebook rasminya dan Selgate untuk mengetahui lokasi SelVax Mobile dijalankan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN