KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mencari jalan untuk memastikan agar pencarum dapat menambah simpanan mereka dengan cepat jika meluluskan pengeluaran maksima i-Citra dari RM5,000 kepada RM10,000.
Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, terdapat tiga cara yang boleh digunakan untuk memulihkan keadaan tersebut iaitu
kerajaan boleh membantu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek lebih lumayan kepada KWSP.
“Contohnya, sebelum ini projek KWASA Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek Battersea di United Kingdom serta pemilikan 49% di dalam syarikat PLUS. Bukan diberikan kepada kroni.
“Ini selari dengan cadangan saya sebentar tadi bahawa projek Bandar Malaysia ataupun cadangan nama baru Bandar ASEAN diberi kepada KWSP dan PNB.
“Kedua,menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum. Ketiga, mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat dengan izin “multi-tier dividend structure” di mana baki simpanan yang lebih rendah akan menerima dividen yang lebih tinggi, supaya pembahagian keuntungan KWSP akan lebih memihak kepada pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah,” ujarnya lagi. -UTUSAN ONLINE