Kerajaan Negeri Sembilan peruntuk RM120,000 sedia perangkap kera  - Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri Sembilan peruntuk RM120,000 sedia perangkap kera 

AMINUDDIN Harun (kanan) dan Wan Mat ketika menziarahi Nor Afia dan ibunya, Nor Syamimi di Taman Dusun Nyior, Ampangan, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM120,000 bagi menyediakan perangkap kera dan babi hutan untuk diagihkan ke tiga buah pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di peringkat daerah.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan berkenaan dikhaskan untuk penyediaan perangkap di lokasi yang kerap terdapatnya aduan orang ramai mengenai haiwan berkenaan.

 

Ujar beliau, keputusan untuk menyalurkan itu dibuat hasil perbincangan dengan Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan bagi mengatasi masalah binatang atau musuh tanaman berkenaan.

 

“Kejadian digigit kera ini kita tidak mahu berulang kembali. Jadi, peruntukan ini khas menyediakan perangkap di lokasi yang telah dikenal pasti.

 

“Dalam kes di Taman Dusun Nyior ini, kerajaan negeri dan wakil rakyat telah menghulurkan sumbangan manakala Jabatan Perhilitan pula akan mengetengahkan permohonan Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas, jumlah bantuan diberikan bergantung kepada laporan perubatan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi seorang kanak-kanak perempuan 21 bulan, Nor Afia Muhamad Nur Issyifa yang cedera digigit seekor kera dalam kejadian pada 21 September lalu di Taman Dusun Nyior, Ampangan di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek serta Pengarah Jabatan Perhilitan negeri, Wan Mat Wan Harun.

 

Sementara itu, ibu mangsa, Nor Syamimi Mohamad, 29, berkata, dia masih lagi trauma dengan kejadian berkenaan lebih-lebih lagi dia baharu sahaja pulang ke rumah semalam dan melihat kembali lokasi kejadian.

 

“Saya sampai termimpi-mimpi malam tadi. Apa pun saya bersyukur anak kembali aktif dan lukanya juga semakin sembuh. 

 

“Sebelum ini doktor ada cadangkan untuk pembedahan plastik dengan menampal kulit di bahagian luka, namun melihat luka anak yang semakin sembuh ini kemungkinan proses itu tidak perlu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN