HULU TERENGGANU: Ahli keluarga kepada jurutera kimia yang ditemukan meninggal dunia akibat kecederaan pada pergelangan tangan dan kaki selepas menumbuk cermin Masjid Taman Scientex di Johor Bahru, Johor Ahad lalu terkejut dengan tindakan ganas berkenaan.
Kakaknya, Siti Ayu Megawati Mohd. Said, 33, berkata, adik bongsunya, Muhammad Sufian, 28, merupakan seorang anak yang baik, sentiasa ceria dan tidak pernah bersikap pelik atau menunjukkan sebarang masalah sepanjang tiga tahun bekerja serta menetap di selatan tanah air.
Malah, katanya, hubungan mereka juga akrab dan sering bertemu memandangkan lokasi kediaman yang berdekatan antara satu sama lain di Johor Bahru.
“Setiap malam selepas solat Maghrib, rutin kami tiga beradik membuat panggilan video berkumpulan termasuk dengan ayah di kampung dan arwah gemar memberi nasihat serta tazkirah kepada keluarga.
“Sejak dua minggu lalu, tazkirahnya lebih panjang daripada biasa hingga melepasi waktu azan solat Isyak, namun, kami tidak menyangka perubahan itu petanda dia pergi selamanya kerana arwah seorang yang kuat semangat,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Seri Sentosa di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi Ahad lalu, Muhammad Sufian dikatakan menumbuk cermin Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya dipercayai kerana mengamuk.
Siti Ayu Megawati berkata, sebelum ini setiap bulan adiknya pasti pulang ke kampung halaman bagi menziarahi bapanya, Mohd. Said Nang, 68, yang mempunyai sakit asma, namun rutin itu tertangguh sejak enam bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sabtu lalu dia beria-ia mahu pulang ke kampung tetapi permohonan rentas negeri gagal kerana dokumen tidak lengkap, jadi saya berjanji mahu menemaninya dalam masa terdekat.
“Pada masa itu, arwah menyatakan kesediaan untuk mengambil cuti dan kalau tidak diluluskan, dia sanggup berhenti kerja secara tiba-tiba untuk balik ke kampung dan menjaga ayah,” katanya. UTUSAN ONLINE