SEREMBAN: Sepasang suami isteri mahu mengesan bapa kandung kepada anak angkat mereka bagi menyelesaikan proses dokumentasi bagi pendaftaran persekolahan.
Mohd. Fairuz Ismail, 38, berkata, dia kini sedang mencari Hazmain Abdul Jalil, 39, bapa kandung kepada anak angkatnya, Nurul Ain Safikah Hazmain, 6, yang telah dijaganya sejak berusia setahun.
Jelasnya, dia dan isteri, Siti Aisah Ja’afar, 38, pernah mencari Hazmain di alamat Taman Alamesra, Jalan Sulaiman, Kota Kinabalu, Sabah namun tidak berjaya menemuinya lelaki itu.
“Kami dimaklumkan Hazmain berada di Sabah namun kami tidak menemuinya sehingga kini. Bagaimanapun, kami ada menemui ibu kandung Nurul Ain Safikah iaitu Siti Faezah Abu Bakar, 38 yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) mental yang tinggal di Segamat, Johor.
“Tujuan kami mencari bapa kandung Nurul Ain Safikah adalah untuk memudahkan urusan persekolahan anak angkat kami itu yang akan memasuki tahun satu pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Seremban 2, semalam.
Menurut Mohd. Fairuz, dia dan isteri buntu selepas pelbagai ikhtiar dilakukan namun masih belum menemukan Hazmain.
“Tiada sesiapa yang tinggal di rumah menerusi alamat yang tertera pada sijil kelahiran Nurul Ain Safikah jadi pencarian menjadi semakin sukar.
“Ibu kandungnya pula mengalami masalah mental dan tidak mengingati tentang suaminya. Saya juga dimaklumkan, ibunya itu merupakan seorang gelandangan ketika mengandungkan Nurul Ain Safikah,” katanya lagi.
Dia berharap bapa kandung anak angkatnya itu dapat ditemukan dan tampil dengan segera bagi membantu proses pendaftaran persekolahan anak angkatnya termasuk untuk membuat MyKid.
“Siapa-siapa yang mempunyai maklumat mengenai Hazmain boleh menghubungi saya menerusi nombor telefon 019-2899407,” katanya.- UTUSAN ONLINE