Kamarul Zaman yakin menang kes saman fitnah 10 ahli Parlimen, Peguam Amanah mohon maaf - Utusan Malaysia

Kamarul Zaman yakin menang kes saman fitnah 10 ahli Parlimen, Peguam Amanah mohon maaf

KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff yakin dapat memenangi kes-kes saman fitnah terhadap 10 ahli Parlimen pembangkang lain selepas  kes melibatkan Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Perak, Mohd. Fitri Asmuni berjaya diselesaikan dengan permohonan maaf.

Ia susulan saman sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas fitnah daripada dua artikel ditulis dan disiarkan Mohd. Fitri menerusi Facebooknya, menerusi tajuk ‘Dr Kamarul Yusoff, Cybertrooper Bertaraf Doktor’ dan ‘Dr Kamarul Zaman Yusoff Kaki Putar Belit, Astora Jabat Masa Kini’ masing-masing bertarikh 23 dan 25 Mei 2017.

Dalam penghakiman persetujuan yang dicapai di depan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan, semalam, Mohd. Fitri yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional bersetuju membuat kenyataan permohonan maaf terhadap plaintif, Dr. Kamarul Zaman yang diwakili Peguam, Mohd. Harris Mohan Abdullah.

Memetik kenyataan permohonan maaf di Facebook Mohd. Fitri, beliau berkata, “Saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan dan tanpa pengakuan terhadap liabiliti memohon maaf kepada Dr. Kamarul atas penerbitan kedua-dua buah artikel tersebut yang telah mengguris hati beliau.

 “Saya juga menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut serta berjanji tidak akan menerbitkannya kembali atau menerbitkan apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya pada masa hadapan.

“Kenyataan ini dibuat atas semangat persahabatan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak ingin memanjangkan lagi kes ini di mahkamah.” 

Sementara itu, Dr. Kamarul ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu dan berharap agar penyelesaian ini dan jangkaan kemenangan dalam kes-kes lain, sedikit sebanyak mengembalikan maruah beliau dan UUM yang sebelum ini berdepan kritikan kerana tulisannya atau apa yang didakwa sebagai tulisan beliau.

“Saya sebenarnya lebih suka terlibat dalam dialog dan perbincangan yang sihat mengenai apa-apa isu, tetapi tindakan mahkamah terpaksa dilakukan apabila fitnah yang dibuat menjadi keterlaluan dan apabila pihak lain terlebih dahulu mengambil tindakan perundangan ke atas saya,” katanya di sini hari ini.

Pada masa sama, Kamarul Zaman menyifatkan perkara itu sebagai satu kemenangan moral yang akan menjadikan beliau lebih bersemangat dalam menghadapi kes-kes saman fitnah lain yang beliau kemukakan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada peguam saya yang mengusahakan cadangan penyelesaian ini dan kepada Mohd Fitri yang bersetuju untuk membuat kenyataan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut.

“Kes saman terhadap Mohd. Fitri ini sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada kes-kes saman saya terhadap sekumpulan pemimpin DAP dan Amanah serta dua buah portal media, iaitu Malaysiakini dan Malaysia Dateline,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan sebenarnya adalah kepada kes-kes saman fitnah terhadap lapan Ahli Parlimen DAP iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh dan Steven Sim.

“Kenyataan-kenyataan mereka serta dua Ahli Parlimen Amanah yang turut saya saman, iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin, lebih besar impaknya kerana mereka merupakan nama-nama besar dalam politik Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN