Kadar vaksinasi Kedah rendah - Utusan Malaysia

Kadar vaksinasi Kedah rendah

TAN KOK YEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri seolah-olah gagal dalam memahami spektrum luas bidang yang perlu ditangani untuk berhadapan dengan cabaran besar ekoran peningkatan kes Covid-19 di negeri ini. 

 

Sebaliknya, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Covid-19 DAP Kedah, Tan Kok Yew, kerajaan negeri itu hanya bergantung kepada strategi tunggal ‘sekatan pergerakan dan vaksinasi’ tanpa berusaha menjayakannya.

 

“Kami menjangkakan kadar jangkitan Covid-19 ini akan menjadi lebih terkawal sekiranya Kedah mencapai kadar imuniti kelompok 80 peratus yang disasarkan. 

 

“Sehingga semalam, peratusan penduduk Kedah yang lengkap divaksin hanya 37.4 peratus berbanding 85.9 peratus yang mendaftar untuk menerima vaksin,” katanya di sini hari ini.

 

Justeru, katanya, DAP Kedah melalui pasukan pakar-pakar perubatannya menggariskan beberapa langkah dan strategi yang lebih komprehensif dalam usaha bersama membantu mengekang penularan pandemik Covid-19 di Kedah.

 

“Kertas cadangan ini akan diserahkan terus kepada pihak pengurusan pandemik negeri dalam tempoh terdekat ini,” jelasnya.

 

Tambah beliau, kes kematian akibat Covid-19 di Kedah yang dilaporkan sejak kebelakangan ini mengerikan. 

 

“Lebih membimbangkan lagi apabila kadar kematian di luar hospital untuk dua hari berturut-turut mencatatkan peratusan melebihi 65 peratus.

 

“Secara keseluruhannya kes kematian di Kedah sehingga 11 September adalah berjumlah 1,280 kes atau pada kadar 1.1 peratus. Untuk tempoh 11 hari sahaja, sejumlah 385 kes kematian dilaporkan,” kata beliau.

 

Katanya, situasi berkenaan terjadi apabila pengurusan pandemik negeri masih terus bergantung pada strategi yang sama sehingga menyebabkan situasi kalah-kalah dan menjejaskan kehidupan rakyat. 

 

“Krisis kesihatan yang berpanjangan dan kesan-kesannya mencetuskan berbagai cabaran besar sehingga mendedahkan keretakan yang mendalam dalam sistem penjagaan kesihatan awam di negeri ini,” katanya.

 

Katanya, pada pertengahan Jun 2021 yang lalu, DAP Kedah menggerakkan sukarelawannya ke seluruh pelusuk negeri untuk membantu penduduk dan rakyat Kedah mendaftar sebagai penerima vaksin. 

 

“Pada ketika itu kadar peratusan yang mendaftar masih terlalu rendah berbanding peratusan yang direkodkan sehingga semalam,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN