MELAKA: Barisan kepemimpinan UMNO yang terpilih menganggotai ‘Kabinet Keluarga Malaysia’ merupakan bayangan Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti akan datang, kata bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu kepada Utusan Malaysia, meletakkan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri bukanlah mekanisme tepat menguatkan parti, sebaliknya ia menjelaskan lagi kekaburan bibit-bibit perseteruan dua kem dalam UMNO.
Ujarnya, Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu peka bahawa Kabinet baharu selepas jatuhnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukanlah dirangka semata-mata untuk memerangi Covid-19 tetapi juga ‘serampang dua mata’ pemilihan parti kelak.
“Kabinet Ismail Sabri adalah bayangan kepemimpinan Majlis Tertinggi UMNO masa akan datang. Di mana Ismail Sabri sebagai Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Timbalan Presiden.
“Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Dr. Adham Baba, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Khairy Jamaluddin sebagai Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan semua sudah siap.
“Ketua Wanita, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Mohd. Shahar Abdullah sebagai Ketua Pemuda. Ini bayangan MT UMNO masa akan datang. Jadi, sekali gus Kabinet yang diumum sepatutnya menentang Covid-19, tapi jadi Kabinet menentang Ahmad Zahid,” katanya ketika ditemui.
Hanya nama Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah sahaja yang tidak dipilih semula menganggotai Jemaah Menteri selepas meletakkan jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada 3 Ogos lalu.
Sementara itu, ditanya kemungkinan wujud parti serpihan baharu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Idris berkata, perpecahan setiap era seseorang Presiden adalah perkara biasa dalam UMNO.
Jelasnya, sejarah telah membuktikan bahawa semua Presiden UMNO menyumbang kepada kelahiran parti serpihan, sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi.
“Kalau ikut pandangan saya, akan berlaku satu clear division, pecah-belah yang nyata dalam UMNO itu sendiri apabila sampai tempoh pemilihan, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.
“Dulu pun UMNO berpecah, sejak zaman Tunku Abdul Rahman dengan Datuk Seri Harun Idris pun berpecah. Jadi, tidak mustahil akan jadi perkara sama dalam pemilihan akan datang,” jelasnya. -UTUSAN










